Pemandu didenda $170,147

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Kes pemandu sebuah treler yang didapati membawa muatan mengandungi lebih tiga ribu karton minuman keras dan video insiden itu tular di media sosial, dihukum denda $170,147 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal membuat deklarasi betul untuk muatan yang dibawa.

Denda terhadap Dennis anak Ketok, 32, dijatuhi Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar yang turut memerintahkan hukuman dua tahun penjara jika gagal membayar.

Tertuduh telah didapati membawa sebanyak 3,432 karton minuman keras dalam pelbagai jenama, dan gagal mengisytiharkannya dalam borang deklarasi transit kastam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8:36 pagi pada 11 Ogos 2019, treler yang membawa kontena berukuran empat kaki yang dipandu tertuduh bersama seorang penumpang dalam perjalanan dari Miri ke Keningau, Sabah telah ditahan pegawai kastam di Pos Kawalan Sungai Tujoh. Tertuduh menyerahkan borang deklarasi yang menyatakan treler itu membawa muatan Baja Abok. Imbasan X-ray yang dibuat ke atas kontena menunjukkan imej-imej yang mencurigakan.

Pemeriksaan menyeluruh dibuat dan menemukan karton minuman keras tersebut.