Pemandu disahkan mati otak selepas serangan

BAYONNE, PERANCIS, 7 JULAI – Seorang pemandu bas di Perancis diisytiharkan mati otak semalam selepas diserang kerana enggan membenarkan penumpang menaiki bas tanpa memakai penutup mulut dan hidung sejajar dengan peraturan yang dikenakan untuk memerangi koronavirus.

Satu sumber polis di Bayonne, berhampiran tempat peranginan Atlantik Biarritz di barat daya Perancis, berkata lima orang telah ditahan berhubung kejadian pada petang Ahad.

Sumber berkata pemandu, dalam umur lima puluhan, cuba menghalang seorang lelaki, yang tidak memakai penutup mulut dan hidung, daripada menaiki bas.

Pemandu juga meminta empat penumpang lain, yang telah pun menaiki bas tanpa penutup mulut dan hidung, supaya turun dari bas.

Penutup mulut dan hidung diwajibkan dalam pengangkutan awam di Perancis, di mana wabak COVID-19 telah meragut hampir 30,000 nyawa.

Pemandu itu ditumbuk bertalu-talu dalam serangan yang mengakibatkan kecederaan parah di kepala, menurut sumber. – AFP