Pemandu ditahan bawa barang tegahan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Seorang pemandu telah ditahan bersama barang tegahan semasa sekatan jalan raya yang dikendalikan anggota Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan Kampung Beribi, semalam.

Penahanan dibuat setelah pemeriksaan kenderaan yang dijalankan menemukan dua buah kotak besar yang mencurigakan diletakkan di kawasan tempat duduk penumpang kenderaan.

Pemeriksaan kemudian dilakukan ke atas kotak-kotak berkenaan dan mendapati barangan tegahan iaitu rokok berjumlah 74 karton dan tujuh peket pelbagai jenama.

Suspek lelaki warga tempatan berumur 34 tahun bersama barang tegahan tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.

PPDB melalui JSKLL akan sentiasa menjalankan rondaan dan sekatan jalan raya di kawasan-kawasan yang ditetapkan bagi memastikan para pemandu serta penumpang jalan raya akan sentiasa akur dan patuh akan garis pandu dan perundangan yang telah ditetapkan semasa musim pengawalan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

ATAS & BAWAH: Barang tegahan yang ditemui dalam kereta suspek. – Gambar serahan PPDB