HONG KONG – Pelitup muka, sarung tangan, pembasmi kuman selepas memastikan dia mempunyai bekalan antiwabak yang mencukupi di dalam bonet belakang, Stephen Sha dengan mahir memakai sut pelindung biru, masuk ke dalam teksi bahagian pemandu dan membawa keluar kit ujian pantas untuk COVID.
“Satu garisan, negatif,” Sha menarik nafas lega dan memakai pelitup muka, pelindung wajah dan sarung tangan, menunggu arahan daripada pusat penghantaran untuk mengambil pesakit COVID.
Memandangkan jumlah harian kes baharu COVID terus meningkat di Hong Kong, penduduk kurang keluar untuk mengelak dijangkiti. Sementara itu, ramai pemandu profesional, termasuk Sha, keluar untuk melayani kumpulan penumpang khas.
Pada pertengahan Februari, Hong Kong mengetatkan langkah antiwabak, termasuk penggantungan perkhidmatan makan di restoran selepas jam 6 petang.
Disebabkan keadaan wabak yang teruk, jalanan yang dahulunya sesak di hab kewangan global telah menjadi agak lengang. “Ini bukan Hong Kong yang saya tahu,” kata Sha yang berusia 72 tahun dengan wajah suram.
Apabila Sha mengetahui kerajaan Hong Kong sedang menyediakan armada ‘teksi antiwabak’ untuk membawa pesakit COVID ke klinik, dia memutuskan untuk menyertainya.
Pada 22 Februari lalu, dua hari sebelum Sha menyertai armada teksi, keluarga adik lelakinya telah disahkan menghidap COVID.
Mereka tidak pergi ke hospital tetapi tinggal di rumah kerana bimbang mereka akan menularkan penyakit itu dengan menaiki pengangkutan awam.
Keazaman Sha untuk mengambil bahagian dalam armada teksi ketika itu lebih kukuh dan dia berharap dapat membantu pesakit COVID sebaik mungkin.
Sung Yat-lung, seorang lagi pemandu dari armada ‘teksi antiwabak’, mengakui dia takut dijangkiti tetapi dia telah mendapat keselesaan dan keberanian dalam membantu pesakit untuk sampai ke klinik dan mendapatkan rawatan.
Sistem penjagaan kesihatan Hong Kong dibebani oleh gelombang kelima wabak itu, dengan kakitangan perubatan barisan hadapan bekerja di bawah tekanan sangat tinggi.
Pusat Kawalan Jangkitan Hospital Lantau Utara Hong Kong adalah salah satu hospital yang ditetapkan di Hong Kong untuk merawat pesakit COVID. Ma bekerja sebagai pembantu pakar bius di sana dan biasanya dia mengambil masa hampir dua jam untuk pergi bekerja setiap hari.
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk membendung penularan virus itu, beberapa laluan bas di Hong Kong telah diselaraskan dan kekerapan perkhidmatan bas juga telah dikurangkan, menjadikan perjalanan harian Ma menjadi lebih sukar. Baru-baru ini, dia telah diperkenalkan dengan perkhidmatan teksi khas yang disediakan oleh kumpulan teksi tempatan.
Bulan lalu, kumpulan itu melancarkan kempen yang menawarkan perkhidmatan percuma untuk kakitangan perubatan barisan hadapan dan pengangkutan percuma bekalan antiwabak.
“Saya gembira jika saya dapat membantu mengurangkan masa ulang-alik kakitangan perubatan,” kata Dickson Chen, salah seorang daripada lebih 100 pemandu teksi yang menawarkan diri dalam kempen itu.
Kadangkala apabila Sha meletakkan teksinya di tepi jalan dan orang yang mengenalinya sebagai ‘teksi antiwabak’ akan datang untuk mengucapkan terima kasih kepadanya.
“Sangat menggembirakan, ia berbaloi,” kata Sha sambil tersenyum lebar. – Xinhua