Thursday, October 10, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemandu trak wanita pertama Ghana

    TAKORADI – Berderum-derum di sepanjang jalan raya di Ghana, Abigail Asumadu-Amoah mengerakkan kepalanya namun masih memfokuskan tumpuannya di jalan raya.

    Dia adalah salah seorang di antara 21 pemandu lori wanita yang bekerja di bawah Syarikat Ladybird Logistics, sebuah syarikat yang diisytiharkan sebagai pertama di dunia kerana mengambil pemandu lori wanita.

    Dalam industri yang sukar dan didominasi oleh kaum lelaki, wanita telah berubah sikap.

    “Apa yang boleh dilakukan oleh lelaki, wanita juga boleh melakukannya,” kata Asumadu-Amoah dan berharap akan lebih ramai kaum wanita berinspirasi dengan pencapaian mereka. “Ia adalah persoalan mengenai penentuan,” tambahnya.

    Kesemua pemandu lori wanita itu memandu sebuah trak 47,000 liter, yang membawa bahan api ke kawasan perlombongan emas di Ghana. Namun bagi Asumadu-Amoah yang berusia 44 tahun, cabaran terbesar yang dialaminya ialah keadaan jalan raya di kawasan Afrika Barat.

    Kira-kira 21 pemandu lori wanita yang bekerja di bawah Syarikat Ladybird Logistics, sebuah syarikat yang diisytiharkan sebagai pertama di dunia kerana mengambil pemandu lori wanita. – AFP

    Kesemua pemandu lori wanita itu memandu sebuah trak 47,000 liter, yang membawa bahan api ke kawasan perlombongan emas di Ghana. – AFP

    “Memandu dengan penuh defensive dan berhati-hati,” kata Asumadu-Amoah yang menyentuh pendekatan terhadap pekerjaannya, sambil menunggu tangki traknya diisi dengan bahan api dari sebuah depot di kawasan pelabuhan Takoradi, terletak kira-kira 225 kilometer dari bandar raya Ghana, Accra.

    Sektor pengangkutan merupakan majikan yang terbesar di Ghana namun masih didominasi oleh kaum lelaki.

    Pencuri bahan api

    Hampir lapan peratus kaum lelaki di Ghana bekerja dengan sektor pengangkutan dan penyimpanan, menurut perangkaan dari pihak kerajaan, berbanding hanya 0.3 peratus sahaja kaum wanita.

    Namun terdapat beberapa masalah, kata William Tewiah, pegarah urusan Zen Pertroleum Ghana, syarikat pengangkutan bahan api utama yang membawa bekalan bahan api ke beberapa kawasan perindustrian di seluruh rantau berkenaan.

    Para pemandu akan mengisi tangki trak mereka dengan bahan api di Takoradi sebelum memandu ke tapak perlombongan di seluruh Ghana.

    Walau bagaimanapun, dalam perjalanan mereka, ada juga yang menyedut sedikit bekalan bahan api itu untuk diri mereka sendiri secara besar-besaran. Dalam beberapa bulan, syarikat itu boleh sahaja kehilangan sekitar 50,000 dolar setelah bahan api itu dicuri, kata Tewiah.

    Dalam usaha mencari jalan penyelesaian, Tewiah mula menyedari bahawa sesuatu yang baharu amat diperlukan dan mengambil pekerja wanita adalah jawapannya. Oleh kerana penglibatan wanita dalam industri itu masih lagi baharu namun mereka mempunyai fikiran yang berbeza-beza, tambahnya kepada media.

    Latihan tambahan

    Pada akhir tahun 2017, Tewiah telah membuat pendekatan dengan pihak perunding pengurusan bebas, Payin Marfo bagi merealisasikan impiannya untuk membina sebuah syarikat pemanduan trak wanita menjadi kenyataan, menjadikannya sebagai pengarah urusan Syarikat Ladybird.

    Pada bulan Oktober, tahun berikutnya, Ladybird mula membawa bekalan bahan api bagi pihak Zen Petroleum untuk membekalkan salah satu kawasan perlombongan emas di Ghana.

    Berpangkalan di Takoradi, Syarikat Ladybird, yang dimiliki oleh sekumpulan pemegang saham, meliputi tiga laluan pada ketika ini dan yang paling lama mengambil masa kira-kira tujuh jam perjalanan.

    “Saya akan tidur lebih awal pada waktu malam tanpa mimpi buruk mengenai bahan api yang hilang,” kata Tewiah.

    Pemandu kebanyakannya berumur antara 28 dan 45 tahun, kesemuanya berpengalaman dan mempunyai lesen memandu kenderaan berat.

    Syarikat Ladybird memberikan pemandu wanita ini latihan tambahan, termasuk sokongan dari pengeluar trak dari Sweden, Scania dan Korps, angkatan tentera Ghana. Latihan tersebut meliputi latihan fizikal, latihan ketenteraan, panduan untuk memandu untuk durasi yang lama dan petua pengendalian trak bahan api.

    Sumber inspirasi

    Setakat ini, Syarikat Ladybird Logistics hanya mempunyai satu pelanggan, Zen Petroleum namun syarikat tersebut berharap ia akan terus berkembang. Marfo berkata bahawa syarikat itu merancang untuk menggandakan lagi pemandu wanita dengan menyewa 24 buah lagi trak-trak besar.

    “Lebih banyak wanita menunjukkan minat,” katanya sambil menambah bahawa setiap minggu seorang wanita akan menghubunginya untuk memohon pekerjaan.

    “Bagi saya, matlamat utama sudah dicapai,” katanya. “Secara global, wanita menganggap memandu trak adalah satu profesion, tetapi di Ghana, kami tidak, sekarang saya dapat melihat kaum wanita sedang mempertimbangkan memandu trak sebagai satu profesion,” tambahnya.

    Syarikat tersebut juga mempunyai mekanik wanita iaitu Beatrice Frimpong yang berusia 28 tahun. Selain memberikannya peluang pekerjaan, Frimpong turut menggalakkan wanita-wanita lain untuk menceburi bidang tersebut.

    “Ia seolah-olah memberikan anda kuasa untuk melakukan sesuatu yang luar biasa,” kata Frimpong. Kaum lelaki kadang-kadang berkata bahawa dia terlalu kecil atau lemah untuk bekerja dan hanya sesuai untuk memandu kenderaan yang lebih kecil,” katanya kepada media.

    Justeru, bergerak untuk memperbaiki lori, seperti lori tangki adalah satu tindakan keingkaran atau penentangan.

    “Saya mahu membuktikan kepada orang ramai bahawa saya boleh melakukannya,” kata Frimpong. “Tidak kira sama ada saya besar atau kecil, saya boleh melakukannya,” tambahnya.

    Pasukan wanita itu turut menerima sokongan dari rakan kerja mereka yang terdiri dari kaum lelaki.

    Justice Zoiku, pemandu trak yang mengisi trak tangkinya dengan bahan api berkata bahawa dia gembira kerana dapat melihat kaum wanita memandu trak di jalan raya.

    “Mereka mempunyai kesabaran dan mengambil masa untuk melakukan segala-galanya,” kata Zoiku. “Apa yang penting, mereka telah berjaya,” tambahnya.

    Zoiku, seorang ayah berkata bahawa dia gembira dan berbangga jika melihat anak perempuannya turut memutuskan untuk mengikut jejaknya dan memandu trak tangki.

    “Jika dia mahu memandu, saya akan menyokongnya,” kata Zoiku. “Apa yang boleh dilakukan oleh kaum lelaki, wanita boleh sahaja melakukannya dengan lebih baik,” tambahnya kepada media. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda