Pemanduan BMW X1 cetus kepuasan

Nurdiyanah R.

Gambar serahan QAF Auto

Sesi uji pandu The New BMW X1 anjuran QAF Auto baru-baru ini bukan saja menampilkan kehebatan visual salah sebuah model terbaharu BMW X1 jenis sDrive18i yang menyerlahkan keunggulan dan sportif semata-mata tetapi juga keseluruhan yang melengkapinya.

Kenderaan ini dilihat semakin mantap dengan adanya sinar perubahan bercirikan Sports Activity Vehicle yang pastinya bagaikan lembaran baharu dalam kehadirannya yang sememangnya mampu menawan hati para penggemar kenderaan moden.

Pancaran aura rekaan penuh memukau

Ketika uji pandu itu, penulis berasa bagaikan cinta pandang pertama dengan pancaran auranya memukau dan lebih dominan dari semua segi rekaan kenderaan BMW X1 tersebut secara keseluruhannya.

Kekuasaannya terserlah apabila dilengkapi enjin tiga atau empat silinder BMW TwinPower Turbo dan juga kecanggihan BMW xDrive yang dimilikinya.

Hal ini sekali gus memantapkan lagi sistem pemanduan meliputi gerakan dan pusingan semua roda sehingga mampu mewujudkan detik kepuasan kepada pemandu model BMW X1 ini.

Tampil unggul, sportif dan sungguh menawan, begitulah kehebatan salah sebuah model terbaharu BMW X1 jenis sDrive18i.
Keterampilan BMW X1 baharu ini lebih terserlah dengan gaya rekaan mewah dan berprestij.

BMW X1 baharu tampil sportif dan aktif sesuai untuk semua lapisan pengguna yang berhasrat untuk memiliki sebuah kenderaan bergaya penuh versatil dengan sistem teknologi digital dan rekaan yang mampu mencetuskan kekaguman.

Dengan menampilkan sebuah komponen BMW gril kidneys lebih besar dan menonjol di bahagian tengah hadapannya dengan gabungan Adaptive LED headlights termasuklah sharper light iconography, bumper dan integrated LED foglamps serta air intakes antara kelengkapan ciri-ciri luaran terbaharu model BMW X1 yang pastinya memiliki nilai stylistic yang tersendiri.

Keterampilan BMW X1 baharu ini lebih terserlah kegagahannya apabila pada bahagian belakangnya turut dihiasi apron dengan rekaan baharu selaras dengan warna utama pada badan kenderaan.

Selain itu, lampu belakang LED pada kenderaan ini juga hadir dengan rekaan LED L shape khas BMW yang melebar sekali gus menyerlahkan lagi salah sebuah kenderaan berjenama mewah yang berprestij.

Dalam pada itu, keunikan luarannya juga diperkukuhkan lagi dengan adanya cermin sisi bahagian pemandu yang dapat mengeluarkan cahaya LED dua tona imej ‘X1’ apabila kenderaan dalam keadaan tidak terkunci mahu pun masih terbuka.

Sungguh versatil untuk semua

Apa yang menarik hati penulis dan rakan media lagi model BMW X1 sDrive18i ini turut menyediakan perkhidmatan digital menerusi paparan kawalan skrin bersaiz standard dengan ukuran 6.5 inci yang sememangnya salah satu keistimewaannya yang begitu versatil dengan perkembangan teknologi terkini.

Manakala sistem navigasi menerusi paparan berukuran 8.8 inci atau pun 10.25 inci turut menyerlahkan bahagian dalaman kenderaan berkenaan melalui penggunaan BMW iDrive Controller, kawalan suara atau teknologi sesentuh.

Hal ini juga menjurus kepada bantuan semasa pemanduan seperti adanya amaran pelanggaran hadapan, semasa membrek, keluar lorong, bantuan lampu tinggi, dan juga informasi had laju.

Menariknya lagi, BMW X1 yang dilihat seakan berciri jiwa muda, sportif dan aktif ini amat tidak diragukan lagi jika kehebatannya sesuai untuk semua lapisan pengguna yang berhasrat untuk memiliki sebuah kenderaan bergaya dan penuh versatil dengan sistem teknologi dan rekaan yang mampu mencetuskan keterujaan dalam perasaan diri seseorang.

Mencetus kepuasan pengalaman memandu

Oleh yang demikian, merasai pengalaman menguji pandu BMW X1 ini sememangnya mencetus kepuasan dalam diri dengan menikmati sendiri keupayaan teknologi kenderaan ini dengan penuh ciri kestabilan di setiap pengendalian laluan jalan merata mahu pun berliku.

Hal ini sekali gus memberikan keyakinan terhadap kemampuannya yang di luar jangkaan.

Di samping itu, penulis juga dapat merasakan kenderaan istimewa ini yang memiliki tahap keselesaan dari segi ruang dalamannya baik di bahagian depan mahu pun belakang yang merupakan pilihan terbaik untuk pasangan atau yang berkeluarga dalam menyelami detik-detik perjalanan terindah sama ada jauh mahu pun dekat.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menguji kehebatan BMW X1 ini dan juga model-model keluaran BMW yang lain bolehlah berkunjung ke bilik pameran BMW di Beribi dan pastinya menjanjikan tawaran harga dan promosi yang begitu menarik.