Pemangkin agenda digital

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Untuk maju sebagai sebuah negara pintar, ia memerlukan negara melaksanakan transformasi digital yang holistik dan menyeluruh, di sinilah Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 berfungsi sebagai cara ekonomi digital daripada sekadar kesalinghubungan.

Ekonomi digital merangkumi inisiatif-inisiatif dan aktiviti digital dan bukan digital,
merentasi semua sektor dan aktiviti ekonomi, pada asanya, ekonomi digital adalah bagi semua dan oleh semua.

Dengan ini, persiapan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 telah melalui satu proses berulang-ulang bersama pelbagai pihak berkepentingan.

Malah, konsultasi dan dialog seperti Sesi Jaringan Borneo Bulletin Yearbook (BBYB) yang berlangsung di ruang legar The Arts Center, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), hari ini adalah teras kepada pelan induk berkenaan.

“Oleh itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Brunei Press atas inisiatif ini,” ujar Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat bagi pihak Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi pada sesi jaringan berkenaan.

Ir Haji Mohammad Nazri ketika menyampaikan ucapan pada Sesi Jaringan BBYB, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Beliau seterus menekankan bahawa disebabkan pandemik COVID-19, agenda digital negara telah didorong ke hadapan. Sekatan-sekatan yang dilaksanakan untuk membendung pandemik telah menjadi pemangkin bagi transformasi digital.

Untuk menyokong perkara berkenaan, beliau mengongsikan beberapa statistik yang direkodkan sejak Januari lalu termasuk langganan jalur lebar mudah alih yang meningkat lebih 35,000 pelanggan, jumlah langganan jalur lebar tetap meningkat sebanyak 32 peratus, penggunaan lebar jalur meningkat hampir 52 peratus dan peningkatan besar jumlah pengguna perkhidmatan dalam talian dan aplikasi mudah alih kerajaan.

“Ini adalah trend yang menggalakkan dalam transaksi digital kita, walaupun masih terdapat bidang-bidang yang perlu diperbaiki. Tulang belakang trend yang menjanjikan ini dan penyerapan yang berlaku adalah kualiti infrastruktur ICT kami,” ujarnya.

Beliau berkata, kualiti infrastruktur ICT negara juga meningkat seperti yang ditunjukkan dalam Laporan Tinjauan E-Kerajaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi 2020, baru-baru ini. Berdasarkan laporan tersebut, Negara Brunei Darussalam berada di kedudukan ke-60 daripada 193 buah negara.

“Walaupun laporan tersebut mencadangkan bidang penambahbaikan, ia telah mencatat peningkatan dalam mata Indeks Infrastruktur Telekomunikasi (TII) untuk Brunei Darussalam, melonjak daripada 0.65 kepada 0.82. Ini meletakkan Brunei Darussalam di kedudukan dua teratas di ASEAN bagi infrastruktur telekomunikasi,” kongsi Ir Haji Mohammad Nazri.

Pada penghujung ucapannya, beliau menyatakan bahawa dialog yang dikendalikan Brunei Press itu juga merupakan platform konsultasi yang berharga bagi kementerian berkenaan dalam memperkukuhkan lagi proses transformasi digital negara.

“Oleh itu, kami berharap dapat belajar mengenai perspektif dan cadangan anda semasa kita berusaha bersama-sama menuju ke arah negara pintar,” katanya.