Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Pemangkin untuk terus giatkan usaha

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Penganugerahan bintang-bintang kebesaran Negara Brunei Darussalam merupakan pencetus semangat kepada para penerima untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan menyumbang tenaga demi kemajuan dan pembangunan Negara Brunei Darussalam. 

    Beberapa orang penerima ditemui sejurus Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 Tahun, di Istana Nurul Iman pada hari ini mengongsikan perasaan mereka apabila menerima penganugerahan tersebut.

    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih kehadapan majlis Baginda Sultan atas pengurniaan Bintang Kebesaran Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia – Darjah Pertama (PSNB). 

    Yang Berhormat Dato turut menjunjung kasih kehadapan majlis Baginda atas kepercayaan yang telah diberikan untuk beliau melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.

    “Insya Allah saya dengan sokongan pegawai-pegawai dan semua ketua jabatan di bawah kementerian saya akan sama-sama berganding bahu untuk melaksanakan tanggungjawab dalam mencapai matlamat dalam strategi dan demi kepentingan negara,” ujarnya.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan isteri.
    Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah.

    Menyentuh mengenai titah Baginda pada istiadat berkenaan, “Alhamdulilah sebenarnya Negara Brunei Darussalam sudah setentunya melipatkan ganda usaha lagi untuk mempelbagaikan ekonomi negara.

    “Bagi Kementerian Kebuda-yaan, Belia dan Sukan (KKBS), sektor kreativiti, karyawan adalah salah satu sektor yang dimajukan terutama sekali karya seni daripada anak-anak tempatan sebagai contoh, kain tenunan atau sinjang yang kitani pakai; kedua, seni kaligrafi Islam yang boleh kitani majukan dan apabila kitani mempamerkannya kepada warga-negara luar, ia telah banyak menarik minat pengunjung asing sewaktu dipamerkan dan kemudian kerjaya seni dari segi sinematografi atau filem yang menggunakan platform media sosial dan sebagainya. Sementara itu, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh turut menzahirkan perasaan syukur atas pengurniaan pingat diterimanya hari ini. 

    Yang Berhormat Datin turut menyatakan bahawa penganugerahan tersebut akan menjadi pemangkin kepada dirinya untuk terus berkhidmat dan melafazkan sembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman juga menzahirkan perasaan syukur dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan pingat kepada beliau.

    “Saya juga merasa terharu kerana ini adalah satu penghargaan buat saya dalam perkhidmatan awam selama lebih 25 tahun,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...