Pemangku ketua Pentagon tiba di Kabul

KABUL, 11 Feb – Pemangku ketua Pentagon, Patrick Shanahan tiba di Afghanistan dalam lawatan mengejut hari ini tatkala Amerika Syarikat (AS) berusaha menyokong kerajaan Kabul sementara mengadakan rundingan damai dengan Taliban.

Shanahan akan bertemu Presiden Ashraf Ghani, yang kerajaannya bukan sebahagian daripada rundingan besar antara pegawai AS dan Taliban bulan lalu yang diharapkan oleh perunding akan membawa kejayaan dalam konflik 17 tahun itu.

Diplomat AS yang mengetuai rundingan telah meluahkan harapan dalam mencapai satu perjanjian sebelum pilihan raya presiden Afghanistan yang dijadualkan pada Julai, tatkala Presiden Donald Trump me-minta untuk mengakhiri penglibatan tentera Amerika di negara itu. Sekutu Ghani di Washington menegaskan warga Afghanistan harus memimpin proses perdamaian, tetapi Taliban menganggap pentadbiran Kabul sebagai boneka AS dan enggan berunding dengan mereka.

Shanahan memperkukuhkan sokongan AS untuk kerajaan Kabul sebelum mendarat di ibu negara Afghanistan.

“Ia amat penting kerajaan Afghanistan terlibat dalam perbincangan mengenai Afghanistan tersebut,” beritahu Shanahan kepada wartawan dalam kapal terbang.

“Penduduk Afghanistan perlu memutuskan masa depan negara itu. Ia bukan mengenai AS, ia adalah mengenai Afghanistan.”

Usaha AS selama sebulan untuk melibatkan Taliban jelas bertujuan memujuk mereka untuk berunding dengan Kabul.– AFP