Saturday, December 7, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemantauan jarak fizikal diabaikan?

    Seperti yang kita ketahui, negara kita masih di bawah ancaman COVID-19 meskipun mencatatkan angka sifar bagi kes baharu sehingga kini.

    Namun, negara kita tetap mengekalkan langkah-langkah penjarakan fizikal di mana-mana bagi membendung penularannya. Sebagai contoh setiap pengunjung kedai diminta mengimbas kod QR Bruhealth dan memeriksa suhu badan sebelum memasuki kedai. Begitulah juga dilakukan di sekolah-sekolah semua murid diperiksa suhu badan sebelum memasuki kawasan sekolah bagi memastikan sama ada mereka dapat berada di sekolah atau sebaliknya.

    Namun terdapat satu perkara yang cuba saya bangkitkan di sini tentang langkah-langkah penjarakan fizikal di sekolah. Di mana, saya salah seorang pekerja kantin di salah sebuah sekolah, setiap waktu jam rehat para murid akan bergegas menuju ke kawasan kantin bersesak-sesak tanpa mementingkan penjarakan fizikal. Bila ditegur, apa kuasa kami sebagai pekerja kantin kerana yang lebih didengar oleh mereka adalah para guru di sana.

    Tetapi keberadaan guru-guru untuk memantau penjarakan fizikal menjadi persoalan apabila tidak kelihatan kelibat mereka di sana. Ke manakah mereka?

    Sedangkan kita masih disyorkan kerajaan untuk melakukan langkah-langkah penjarakan fizikal bagi membendung penularannya. Memang tidak dinafikan pada awal-awal pembukaan semula sekolah, memang ada guru yang memantau para penuntut. Tetapi sekarang tidak ada guru yang melakukannya. Adakah para guru merasa negara kita sudah bebas dan selamat dari ancaman?

    Saya yakin bukan hanya di sekolah saya bekerja ini malah ada sesetengah sekolah juga melakukan perkara yang sama. Fikir-fikirkanlah perkara ini, jangan melakukan sesuatu perkara ‘hangat-hangat tahi ayam’ saja dan bila ditegur baru melakukannya. Biarlah kita sama-sama menjaga diri ketika ini dan dalam masa yang sama menyahut seruan kerajaan.

    Kami orang kecil

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda