Pematuhan pelabelan ASEAN NCAP dikuatkuasa Mac 2020

PUTRAJAYA, 12 Feb – Syarikat automotif yang memasarkan kenderaan di Malaysia diwajibkan mematuhi Garis Panduan Pematuhan Pelabelan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP) bermula 1 Mac tahun hadapan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata penguatkuasaan garis panduan pelabelan yang dikeluarkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) itu memberi manfaat kepada pengeluar serta pengguna terutama dari aspek peningkatan tahap keselamatan kenderaan.

Mereka yang menggunakan pelabelan palsu selain yang dikeluarkan MIROS selepas didaftarkan kelulusannya oleh Bahagian Standard Kepenggunaan KPDNHEP boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan (APD) 2011, katanya.

“Sehingga tempoh itu, kementerian melalui Bahagian Standard Kepenggunaan akan menjalankan kempen kesedaran secara agresif bagi menyedarkan masyarakat tentang kewujudan sistem pelabelan mengikut rating berdasarkan tahap keselamatan yang dimiliki sesebuah kenderaan pengguna.

“Kita ingin membangkitkan kesedaran bahawa kenderaan yang mempunyai label ASEAN NCAP adalah lebih selamat untuk pengguna dengan sasaran utama kempen adalah kalangan penuntut universiti, persatuan pengguna, pelajar sekolah serta agensi keselamatan,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas melancarkan garis panduan itu di sini hari ini, Saifuddin berkata langkah itu memberi pilihan kepada pengguna untuk membeli kenderaan baharu yang lebih selamat manakala, pengeluar kenderaan pula saling bersaing menghasilkan produk yang memiliki ciri keselamatan terbaik bagi menarik minat pembeli.

Buat permulaan, pelabelan ASEAN NCAP dijalankan secara sukarela bermula 1 Mac ini di mana syarikat automotif digalakkan mempamerkan ‘rating’ mengikut bintang yang diberikan MIROS selepas ujian pelanggaran dilakukan, katanya.

Rating mengikut bintang itu diberikan bagi mewakili ciri keselamatan sesebuah kenderaan seperti tiga bintang untuk kenderaan yang memperoleh skor 50 hingga 65 peratus, empat bintang bagi skor 65-75 peratus dan lima bintang untuk skor 75 hingga 100 peratus, katanya. – Bernama