Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembabitan belia muda tempatan dalam industri perfileman

    Oleh Lenna N.B.

     

    SEBUAH filem pendek bertajuk ‘Selamat Malam’ telah viral baru-baru ini dan telah menarik ramai khalayaknya dengan catatan melebihi daripada 3,500 orang penonton di Youtube, 24,000 orang penonton di laman Facebook, dan lebih daripada 1,800 perkongsian. Nama Visionary Project kian dikenali yang diusahakan oleh belia-belia tempatan.

    Panjang filem pendek tersebut adalah kira-kira 15 minit, mengandungi 4 buah kisah seram yang diceritakan oleh empat sekawan sewaktu melakukan aktiviti berkhemah di pantai. Bermula dengan penuh keriangan dan kegembiraan, namun diakhiri dengan penuh persoalan. Plot cerita sengaja diputarbelitkan sehingga penonton menyaksikan pengakhiran yang tidak disangka.

    “Ia adalah inspirasi daripada kisah sebenar dikongsi oleh kru Visionary Project sendiri dengan melakukan perubahan dari segi penceritaan, bersumberkan kepada idea asal. Tanpa disangka, filem pendek ini menjadi viral dan kami mendapat pelbagai respons positif daripada orang ramai. Setentunya ia adalah salah satu karya terbaik kami,” ucap Awang Amirul Jazli bin Jali, 26, Pengarah Kreatif sebalik Visionary Project.

    Sekilas Latar ‘Visionary Project’

    ‘Visionary Project’ sudah bermula dalam tahun 2013, setelah Awang Amirul dan rakan seperjuangannya tamat pengajian di Universiti Brunei Darussalam. Ia merupakan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan video korporat, video dan penggambaran perkahwinan, animasi serta perkhidmatan fotografi di bawah ‘The Film Cartel’ yang diketuai oleh Awang Haziq Sahminan, 27.

    Kru sebalik tabir yang menjayakan filem pendek ‘Selamat Malam’.
    Kru sebalik tabir yang menjayakan filem pendek ‘Selamat Malam’.
    Awang Mohd. Hanifi, pengarah sebalik ‘Selamat Malam’ ketika sedang ditemu ramah Media Permata baru-baru ini.
    Awang Mohd. Hanifi, pengarah sebalik ‘Selamat Malam’ ketika sedang ditemu ramah Media Permata baru-baru ini.
    Awang Amirul Jazli, Pengarah Kreatif sebalik Visionary Project dan Penerbit filem pendek ‘Selamat Malam’.
    Awang Amirul Jazli, Pengarah Kreatif sebalik Visionary Project dan Penerbit filem pendek ‘Selamat Malam’.

    “Pada asalnya, bidang ini hanyalah salah satu kursus di universiti, dan kami pada masa itu, seramai 4 orang telah mengambil kursus yang sama. Apabila tamat pengajian, kami sedar bidang ini mempunyai permintaan yang sangat tinggi, apatah lagi dalam situasi kesukaran mencari kerja pada masa itu. Dari situlah kami memulakan Visionary Project dan menawarkan perkhidmatan video serta menggambar.”

    Pengasasan Visionary Project sekali gus mencapai sasaran untuk membentuk lebih banyak peluang pekerjaan di industri kreatif. Justeru, mereka sentiasa berkembang dan bersedia menerima mahasiswa/mahasiswi atau sesiapa sahaja yang ingin melakukan latihan kerja.

    “Semasa di universiti, kami tidak mempunyai pengalaman atau pendidikan di bidang kepakaran videografi atau fotografi secara mendalam dan dalam kebanyakan masa, kami belajar melalui Internet. Atas sebab itu, kami ingin membantu para pelajar yang kursus pengajiannya memang berkaitan dalam bidang ini, dengan memberikan mereka pengalaman yang sebenar di lapangan serta berkongsi ilmu pengetahuan yang telah kami perolehi,” jelas Awang Amirul.

    Menurut Awang Haziq, model terawal mereka adalah $60 yang hanya daripada elaun universiti. Bersumberkan peralatan persendirian yang sedia ada, mereka berkembang sehinggalah menerima pelanggan daripada Organisasi-organisasi Kerajaan, syarikat Swasta dan orang-orang persendirian. Kini, perjalanan Visionary Project telah mencecah kira-kira tiga tahun sejak penubuhannya.

    Merealisasikan Hasrat Penggambaran Filem

    “Bertugas dan hobi adalah dua perkara berbeza. Penggambaran Perkahwinan, video korporat dan mana-mana tempahan pelanggan di bawah Visionary Project adalah satu tugasan yang perlu kami selesaikan dalam masa yang telah ditetapkan. Manakala, hobi kami pula melakukan penggambaran filem pendek, yang lebih kepada sukarela sekadar untuk suka-suka.”

    Setakat ini, Visionary Project telah berjaya menghasilkan kira-kira lebih 5 buah filem pendek yang berunsurkan seram, cinta dan persahabatan. Filem pendek ‘Selamat Malam’ merupakan karya terbaru penerbitan syarikat tersebut dengan skrip ditulis dan penggambaran diarahkan oleh Mohd. Hanifi bin Haji. Juffri, 26, juga antara tenaga kerja sebalik Visionary Project.

    “Sebenarnya, kami sekarang ini sedang mengumpul model daripada keuntungan hasil penggambaran pelanggan kami, untuk menampung projek filem kami nanti. Dalam melihat perkembangan industri perfileman tanah air, kami juga mempunyai hasrat dan cita-cita untuk menerbitkan sebuah filem yang akan dimainkan di pawagam. Cuma kini masih dalam proses pengumpulan model perbelanjaan, meningkatkan daya kemahiran kami, merangka cerita dan seterusnya membentuk kru produksi. InsyaAllah. Semoga kami dapat tajaan dari agensi-agensi tertentu untuk menjayakan filem ini nanti yang turut diinspirasikan daripada kejadian sebenar.”

    Keceriaan antara kru Visionary Project.
    Keceriaan antara kru Visionary Project.
    Awang Amirul sebalik tabir penggambaran.
    Awang Amirul sebalik tabir penggambaran.
    Ketika penggambaran filem pendek kisah cinta ‘Never Forgotten’.
    Ketika penggambaran filem pendek kisah cinta ‘Never Forgotten’.

    Menurut Mohd. Hanifi, kemungkinan besar penggambaran akan bermula pada tahun ini. Penghasilan filem-filem pendek di samping sebagai hobi, ia juga adalah untuk mengkaji respons penonton dan penerimaan orang-orang Brunei terhadap hasil karya Visionary Project. Dari respons khalayak itulah, mereka lebih yakin akan jayanya filem yang dihasilkan nanti.

    “Nama ‘Visionary Project’ sebenarnya sudah lama dicipta semasa kami mengambil kursus di universiti lagi. Ia merupakan nama projek filem pendek untuk kursus pada masa itu, di mana setiap apa yang kami cipta, hendaklah mempunyai visi tertentu. Unik dan istimewa untuk tontonan khalayak,” jelas Awang Amirul.

    Visionary Project sebelum ini juga pernah ikut serta dalam pertandingan pembuatan video dalam tahun 2014 anjuran sebuah organisasi media cetak di Brunei dan telah mendapat kedudukan juara. Selain itu, Visionary Project pernah melakukan penggambaran khas untuk Hari Kebangsaan, merakamkan belia-belia yang berkemahiran untuk Hari Belia Kebangsaan dan sebagainya yang kini sudah mencapai lebih daripada 40 buah filem pendek, termasuklah filem komersial. Kejayaan Visionary Project sekali gus menggambarkan kemahiran tenaga kerja belia di sebalik syarikat tersebut.

    Sebalik Tabir ‘Selamat Malam’

    Penggambaran filem pendek ‘Selamat Malam’ menurut Mohd. Hanifi mengambil masa 2 minggu, setelah kira-kira sebulan merangka jalan cerita. Menurutnya, bagi menghasilkan penggambaran yang berkualiti, mereka tidak boleh terburu-buru dalam menjayakannya. Setiap babak harus dirakam sebaiknya demi mencapai kualiti yang disasarkan termasuklah daripada segi pengucapan kata-kata, cahaya penggambaran, suara, mimik wajah dan sebagainya.

    “Dalam penggambaran kita bukan kerja seorang tetapi melibatkan ramai orang termasuklah pelakon dan kru sebalik tabir. Semuanya perlu dirancang awal agar perjalanan penggambaran lancar. Sejujurnya, filem pendek ‘Selamat Malam’ adalah antara karya paling terbaik sekali kami pernah hasilkan daripada sebelumnya.”

    Menariknya, Visionary Project telah berjaya membawakan watak ‘Babu Sinur’ suatu karakter yang berlainan, bukan lagi bersifat diva seperti penampilannya pada sebelum ini. Dalam ‘Selamat Malam’, Babu si Nur telah memegang watak sebagai seorang pelajar universiti yang berkhemah bersama rakan-rakannya di pantai, dan berakhir menjadi seorang yang murung, serius, serta mengalami sakit mental.

    “Para pelakon kami pilih daripada filem-filem pendek tempatan kitani yang popular dengan karakter-karakter mereka yang berlainan. Manakala, konsep penggambaran pula diinspirasikan daripada filem seram Thailand, yang selalunya mempunyai jalan cerita yang diputarbelitkan penghujungnya.”

    Awang Amirul dan Mohd. Hanifi pernah menyertai Korea Film Leader Youth Programme iaitu bengkel filem dua minggu yang telah mendedahkan mereka kepakaran dalam dunia penggambaran termasuklah ilmu mengedit video. Pendedahan tersebut secara langsung, memberi mereka semangat untuk terus berkembang sehingga terhasilnya filem pendek ‘Selamat Malam’ umpama hasil kerja setelah menyertai bengkel filem Korea Film Leader Youth Programme.

    Salah satu babak dalam ‘Selamat Malam’ menampilkan lakonan arwah nenek Awang Amirul.
    Salah satu babak dalam ‘Selamat Malam’ menampilkan lakonan arwah nenek Awang Amirul.
    Sebalik tabir penggambaran G.44.
    Sebalik tabir penggambaran G.44.

    Filem Pendek ‘Selamat Malam’ menurut Awang Amirul kebanyakan terdiri daripada kru-kru sukarela. Berkumpul semata-mata atas minat yang sama di bidang perfileman. Walaupun genre seram agak mencabar kerana ramai yang telah melakukan penggambarannya, mereka berusaha memperkembangkan perjalanan plot yang kuat.

    “Detik termanis saya sepanjang penggambaran ‘Selamat Malam’ apabila arwah nenek saya sudi ikut berlakon menjayakan filem ini sebelum kepergiannya. Di samping itu, kru-kru yang sudi berkumpul bersatu padu sepanjang penggambaran juga antara detik yang tidak dapat kami lupakan, apatah lagi setelah melihat hasil keseluruhan filem pendek ‘Selamat Malam’ yang cukup memuaskan.”

    Filem pendek ‘Selamat Malam’ ini pernah ditayangkan di Festival Filem UBD 2016, The Core, Universiti Brunei Darussalam dan Times Cineplex, Empire.

    Terus Berkarya

    Bagi Visionary Project, walaupun bajet sentiasa menjadi perkara pertama yang perlu dipersoalkan semasa awal penggambaran, ia bukanlah penghalang mereka untuk terus berkarya. Menghasilkan sebuah filem pendek bukanlah seperti membuat video perkahwinan atau komersial yang dapat dijadikan sumber pendapatan, tetapi ia lebih kepada kerja sukarela dikongsi kepada khalayak untuk hiburan.

    Justeru itu, dalam memperkembangkan industri perfileman agar ia dapat menjana pendapatan, mereka berharap dapat merealisasikan penggambaran filem yang bakal dimainkan di pawagam nanti. Hasil tiket dan keuntungan akan dapat menjadi pendapatan untuk setiap mereka yang terlibat dan seterusnya bergerak jauh di bidang ini, memperkembangkan industri perfileman tanah air.

    “Tetap melakukan penggambaran walaupun tidak sehebat mana pun, kritikan demi kritikan itulah dapat memperkembangkan lagi kepakaran kita di bidang ini, dan yang penting bekerjasama dengan mereka yang lainnya. Jangan bekerja seorang diri kerana setiap seorang mempunyai kemahiran berbeza dapat menaikkan mutu kerja kita,” ucap Awang Mohd. Hanifi.

    “Latihan demi latihan akan menghasilkan karya yang sempurna. Walau semahal mana pun peralatan penggambaran yang kita ada, tetapi jika kita tidak melatih kemahiran yang ada, hasilnya tetap sama,” ucap Awang Amirul mengongsi antara rahsia kejayaannya.

    Sebalik Visionary Project, menggambarkan usaha kreativiti belia-belia tempatan yang bersedia meneroka industri kreatif perfileman tanah air kita.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda