Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Pembabitan belia peneraju tangani perubahan iklim

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Maktab Duli

    Perubahan iklim yang terjadi sekarang menjadi isu kritikal yang memerlukan perhatian segera dan serius.

    Di serata dunia, telah menyaksikan kesan negatif perubahan iklim daripada kejadian cuaca ekstrem, pencemaran alam sekitar dan gangguan sosial.

    Negara Brunei Darussalam sendiri, tidak terkecuali daripada kesan-kesan berkenaan, di mana kita telah mengalami peningkatan jumlah kejadian disebabkan oleh iklim termasuk peningkatan suhu dan turunan hujan, keadaan cuaca yang tidak menentu serta kerosakan infrastruktur dan alam sekitar yang serius.

    Sehubungan itu, adalah amat penting bagi kita untuk meningkatkan kesedaran di kalangan semua orang dan bekerjasama untuk menangani krisis berkenaan serta menggerakkan usaha kita ke arah meminimumkan kesan dan risiko perubahan iklim serta menegaskan komitmen kita kepada tindakan global.

    Dalam menangani masalah itu, golongan belia dan kanak-kanak harus diperkasa untuk menerajui tindakan iklim dan membawa kepada perubahan positif bukan sahaja dalam keluarga mereka tetapi juga komuniti masing-masing.

    Dayangku Hajah Nooramaliatifah bergambar ramai semasa Hari Kesedaran Perubahan Iklim yang berlangsung di SLSC, Maktab Duli, baru-baru ini.
    Ikrar-ikrar para pelajar untuk menyelamatkan alam sekitar yang dipamerkan di papan penyata di SLSC.
    Dayangku Hajah Nooramaliatifah turut mengambil bahagian dalam aktiviti menanam pokok yang dilaksanakan di perkarangan maktab.
    Para pelajar dan warga maktab menyaksikan video pendek yang ditayangkan semasa majlis berkenaan.

    Golongan belia boleh bekerjasama dengan pihak kerajaan, perniagaan dan komuniti mereka untuk sama-sama menghasilkan penyelesaian inovatif kepada masalah yang dihadapi.

    Bagi mengetengahkan dan memberikan pendedahan kepada golongan muda khususnya pelajar-pelajar mengenai dengan perubahan iklim, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) mengadakan Hari Kesedaran Perubahan Iklim yang berlangsung di Pusat Pembelajaran Pelajar (SLSC) pada 21 November lalu.

    Hari Kesedaran Perubahan Iklim berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Geografi dengan kerjasama Perpustakaan Maktab Duli dan dirasmikan oleh Pengetua maktab berkenaan, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad. Turut menghadiri perasmian itu ialah Timbalan Pengetua Pentadbiran, Dayangku Zalina binti Pengiran Haji Aliuddin dan Timbalan Pengetua Akademik, Dr Zamri bin Haji Ismail serta ahli-ahi pentadbiran yang lain.

    Maktab Duli telah melaksanakan Program Perubahan Iklim di maktab berkenaan sejak pertengahan tahun 2022 dan Hari Kesedaran Perubahan Iklim merupakan kemuncak bagi program itu, di mana ia memberikan peluang untuk mengetengahkan dan meningkatkan kesedaran perubahan iklim serta pemuliharaan alam sekitar di kalangan pelajar-pelajar dan warga maktab.

    Majlis turut menyaksikan pelancaran Instagram Inisiatif Perubahan Iklim Maktab Duli serta pameran mini yang mengetengahkan mengenai Inisiatif Perubahan Iklim 2022 untuk disaksikan oleh para pelajar.

    Pameran mini itu mempamerkan poster-poster yang mengandungi pelbagai fakta dan maklumat relevan mengenai isu-isu utama yang menyumbang kepada perubahan iklim, inisiatif-inisiatif yang diambil, peranan yang dapat dilaksanakan dalam peringkat yang berlainan seperti sebagai masyarakat, komuniti dan individu.

    Selain itu, terdapat video pendek yang memperkasakan lagi mesej-mesej yang disampaikan dalam pameran mini berkenaan kepada para pelajar dengan matlamat untuk merangsang para pelajar untuk bertindak bagi mencapai masa hadapan yang lebih mampan. Pada masa yang sama, para pelajar juga digalakkan untuk menulis ikrar masing-masing di atas kertas mengenai dengan tindakan yang boleh mereka laksanakan untuk menyelamatkan alam sekitar dengan ikrar bertulis itu dipamerkan di papan penyata yang diletakkan di SLSC.

    Bagi menandakan acara Hari Kesedaran Perubahan Iklim, Dayangku Hajah Nooramaliatifah turut mengambil bahagian dalam aktiviti menanam pokok yang dilaksanakan di perkarangan maktab berkenaan.

    Peranan belia dan golongan muda dalam menangani isu perubahan iklim terus diberikan penekanan bukan sahaja di peringkat negara tetapi juga serantau di mana Negara Brunei Darussalam semasa menjadi Pengerusi ASEAN 2021 telah melancarkan inisiatif ASEAN Youth on Climate Action (ASEANyouCAN).

    Inisiatif Dialog ASEANyouCAN yang diadakan bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN bagi Alam Sekitar pada Oktober 2021 menyediakan platform yang berharga bagi belia-belia yang berfikiran serupa di ASEAN untuk berkongsi pandangan dan idea, memupuk dialog di antara belia dan kerajaan negara-negara anggota ASEAN berhubung dengan isu-isu iklim yang penting.

    Menerusi dialog berkenaan, belia-belia kita menunjukkan pemahaman yang baik dalam konteks iklim di mana mereka bersama-sama mengetengahkan idea-idea bagi penyelesaian berasaskan alam semula jadi, tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui serta insentif pasaran.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...