Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Satu pembaharuan akan dilaksanakan dalam proses pemantauan dan pemulihan pesakit-pesakit COVID-19 dan kontak terdekat melalui aplikasi BruHealth yang akan dilancarkan pada waktu terdekat ini.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
“Dalam pembaharuan ini, pesakit-pesakit positif COVID-19 dan kontak terdekat boleh menghadapkan keputusan ujian ART pada aplikasi BruHealth mereka pada hari-hari yang ditetapkan tanpa menggunakan ART Report portal yang ada pada masa ini,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Permohonan bekalan ART bagi pesakit-pesakit dan kontak terdekat juga boleh dilakukan melalui aplikasi berkenaan, tambah beliau.
Di samping itu, ujarnya lagi, pesakit-pesakit juga boleh menghadapkan soal-selidik triaj kendiri (self-triage survey) di sepanjang tempoh kuarantin mereka melalui aplikasi BruHealth bagi membolehkan Kementerian Kesihatan mengurus dan memantau kesihatan pesakit dengan lebih baik dan efisyen.
“Dengan pembaharuan ini, kod warna BruHealth juga akan bertukar secara automatik mengikut laporan kesihatan dan ujian ART yang dihadapkan,” jelas Yang Berhormat lagi.
Dalam pada itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mengemas kini status kesihatan masing-masing setiap hari bagi membantu Kementerian Kesihatan memantau kesihatan masing-masing.