Pembaharuan program KUPU SB terlaksana

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Sebagai inisiatif untuk menawarkan program kursus minor yang selaras dengan keperluan masyarakat dan sesuai dengan matlamat Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan juga stakeholder-stakeholder yang berkaitan iaitu di sekolah-sekolah menengah dan rendah, kemas kini terhadap program-program kursus minor 2016 menjadi program-program baharu telah dilaksana.

Ianya juga menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Canselor KUPU SB, agar KUPU SB menilai semula program sedia ada yang ditawarkan supaya ianya sesuai terutamanya dalam pengembangan potensi para pelajar secara holistik dan bermanfaat buat diri mereka, keluarga, masyarakat dan negara.

Perkara tersebut telah dijelaskan oleh Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar pada sidang media penawaran Program Kursus Minor bagi Program Sarjana Muda Perguruan Ugama Tahun 3 KUPU SB, yang berlangsung pada hari ini di Bilik Taqwa, KUPU SB.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Dekan Fakulti Pendidikan, Prof. Madya Dr Haji Zahiri bin Awang Mat; Dekan Fakulti Syariah, Dr Rauf Amin; Dekan Fakulti Usuluddin, Dr Mikdar Rusdi; dan Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam KUPU SB, Pengiran Siti Katijah binti Pengiran Sulaiman.

Menurut Ra’es KUPU SB, program berkenaan menawarkan kursus-kursus minor bagi pelajar-pelajar Program Sarjana Muda Perguruan Ugama Tahun 3, semester enam.

Dr Haji Adanan berucap pada sidang media di Bilik Taqwa, KUPU SB.

Para pelajar berkenaan diberi peluang untuk memilih program minor yang ditawarkan antara-nya Kewangan Islam, Bimbingan dan Kaunseling Islam, Teknologi dan Multimedia Pendidikan Islam, Pengajian Al-Quran dan Al-Sunah, Keusahawanan dalam Pendidikan Islam, Pendidikan Melayu Islam Beraja, Fiqh Usrah, Falsafah dan Pemikiran Islam, Pendidikan Sains Kesihatan Islam, Dakwah dan Kepimpinan, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Pendidikan Khas, Falsafah dan Sejarah Kesenian, Usul Fiqh dan Pendidikan Bahasa Melayu dan Sastera Islam.

“Selain itu, diharapkan penawaran program minor tersebut dapat mempersiapkan mahasiswa dan mahasiswi secara teori dan amali daripada aspek pengetahuan dan mengaplikasikannya di dalam kelas dan luar kelas,” jelas Dr Haji Adanan.

Ia juga bertujuan bagi mempelbagaikan karakter lepasan KUPU SB dalam persaingan pasaran kerja, atau memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman berkenaan dalam mencari pekerjaan dalam bidang masing-masing.

Dalam konteks kerjaya guru, program berkenaan dapat membantu pelajar dalam memberikan perkhidmatan yang pelbagai kepada institusi pendidikan sama ada di sekolah-sekolah kerajaan atau swasta.

“Menyentuh mengenai pelajar-pelajar tahun 3 Program Sarjana Muda Perguruan Ugama yang ditawarkan program minor tersebut, mereka telah lebih dahulu diberi pengalaman dalam bidang pendidikan perguruan sejak tahun 2016 dan diberikan pengalaman-pengalaman asas seperti pengurusan kandungan-kandungan mata pelajaran Pengetahuan Islam sama ada di sekolah rendah mahupun sekolah menengah atau pra-universiti,” Dr Haji Adanan berkata.

Selain itu, pelajar juga telah diberikan pengalaman profesional sebagai seorang guru seperti pengalaman-pengalaman pedagogi, psikologi, pengukuran penilaian dan lain-lain.

Begitu juga pelajar turut dibekalkan dengan pengalaman dalam bidang pembentukan syaksiah sebagai pelajar berjati diri Melayu Islam Beraja (MIB) dalam kursus-kursus yang ditawarkan bagi program kokurikulum.

Semua kursus dikendalikan oleh tiga fakulti utama iaitu Fakulti Pendidikan, Fakulti Syariah dan Fakulti Usuluddin KUPU SB, yang dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah KUPU SB dan juga pakar-pakar dalam bidang-bidang berkaitan dari universiti-universiti tempatan.

Antara tujuan penawaran program kursus minor tersebut adalah melahirkan graduan berpengetahuan tinggi, kemahiran, maju ke hadapan dan sentiasa berdaya saing, selain untuk memenuhi keperluan negara ke arah merealisasikan wawasan 2035 melalui pendidikan.