Pembakar semangat raih kejayaan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Para graduan diharap akan terus berusaha dan menjadikan kejayaan mereka sebagai motivasi bagi menghadapi cabaran kehidupan serta menggunakan ilmu dan kemahiran yang dipelajari serta pengalaman yang diperoleh
dalam apa jua bidang kerjaya pilihan mereka.

Harapan itu disuarakan oleh Penolong Pengarah dan Ketua Pusat Pembangunan Belia, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh dalam kata alu-aluannya pada Majlis Konvokesyen Pusat Pembangunan Belia (PPB) ke-20 yang berlangsung di Dewan Binadiri, PPB, Tanah Jambu, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para graduan yang diraikan ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Pada majlis berkenaan, seramai 165 orang graduan telah menerima sijil mereka di mana seramai 89 orang merupakan pelatih Program Pembangunan Belia bagi sesi Januari 2018 dan seramai 76 orang bagi Kursus-kursus Singkat 2019 iaitu seramai 11 orang peserta Program Pendedahan Kemahiran Orang Berkeperluan Khas (OKU), 29 orang peserta Program Pendedahan Pertanian dan Perladangan, 16 orang bagi Kursus Teknologi
Rekaan Fesyen kendalian PPB dan Biro Kemasyarakatan dan Perhubungan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Mengkubau, sembilan orang bagi Kursus Solekan dan Rawatan Naik Seri Pengantin serta 11 orang peserta Kursus Seri Pengantin Program Prihatin.

Pada majlis berkenaan, graduan Kursus Asas Kemahiran Teknologi Rekaan Fesyen, Awang Muhamad Hazwan bin Suhaini muncul sebagai Pelatih Terbaik PPB sesi Januari 2018 di mana beliau telah menunjukkan kecemerlangan sepanjang mengikuti kursus di PPB.

Pengiran Mohd Amirrizal menyampaikan Hadiah Pelatih Cemerlang kepada Awang Muhamad Hazwan di majlis berkenaan.
Pengiran Mohd Amirrizal menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan yang diraikan di majlis berkenaan.
Ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen Pusat Pembangunan Belia ke-20 yang berlangsung di Dewan Binadiri, Pusat Pembangunan Belia, Tanah Jambu, kelmarin.