Pembangkang bersatu sekat Buhari

ABUJA, 10 Julai – Lebih 30 parti pembangkang di Nigeria semalam berkata mereka bersatu untuk menghalang Presiden Muhammad Buhari daripada dilantik semula untuk terus berkuasa bagi penggal kedua, awal tahun depan.

Perwakilan daripada 39 parti politik yang berdaftar termasuk parti pembangkang utama, Parti Demokrasi Rakyat (PDP), telah menandatangani memorandum persefahaman untuk membentuk perikatan anti Buhari dalam pilihan raya Februari depan.

Jurucakap PDP, Kola Ologbodiyan memberitahu AFP bahawa perjanjian itu akan membolehkan pihak pembangkang ‘bersatu dan menghantar seorang calon presiden yang akan menyingkirkan kerajaan Presiden Muhammadu Buhari yang tidak cekap’.

Ketua bagi salah satu parti yang terlibat, parti minoriti National Conscience, Yunusa Tanko berkata perikatan itu akan membolehkan pihak pembangkang ‘bekerjasama menyelamatkan kuasa’.

“Ia adalah perikatan besar yang disertai oleh 39 parti politik. Ia adalah satu perikatan bukan gabungan. Ideanya adalah kami akan bekerjasama dengan setara,” kata Tanko kepada AFP.

Buhari bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron semasa pertemuan mereka di Abuja 3 Julai yang lalu. Lebih 30 parti pembangkang telah bersatu untuk menyekat presiden Nigeria itu daripada dilantik semula ketika pemilihan tahun depan. – AP

Jelasnya lagi, parti yang terlibat akan menghantar calon biasa bagi jawatan pemilihan di kesemua peringkat hinggalah ke jawatan presiden.

“Setiap parti politik berpeluang untuk diwakili dalam sebuah kerajaan perpaduan kebangsaan.

“Akhirnya, kita akan mempunyai sebuah kerajaan bersatu yang dapat diterima oleh semua anggota kumpulan,” kata Tanko.

Buhari, 75 tahun, mula berkuasa pada 2015, bercita-cita untuk mengekalkan jawatannya bagi penggal kedua selama empat tahun berikutnya dan telah memberitahu para pemimpin partinya bahawa dia akan bertanding bagi pemilihan semula di sebalik kebimbangan berhubung usia dan tahap kesihatannya.

Minggu lalu bekas sekutu Buhari, Buba Galadima, mengumumkan pembentukan sebuah kumpulan yang digelar sebagai Reformed All Progressives Congress (rAPC) mendakwa telah menghimpun anggota APC yang tidak berpuas hati dari seluruh negara, dengan perwakilan di kerajaan setempat dan peringkat negeri serta di parlimen. – AFP