Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembangunan ancam kemegahan seni bina Myanmar

    MAWLAMYINE – Salah seorang pengunjung British, Rudyard Kipling telah mengabadikan antalogi syair dalam Bahasa Inggeris tatkala berada di kawasan tangga yang menghala ke arah kuil Moulmein.

    “By the old Moulmein pagoda, lookin’ lazy at the sea/There’s a Burma girl a-settin,’ and I know she thinks o’ me,” begitulah antara bait-bait pembuka syair ‘Mandalay’, ayat-ayat penuh dengan nostalgia yang telah ditinggalkan oleh penyair muda.

    Kini, selepas 128 tahun syair Kipling diabadikan, pagoda Kyaik Than Lan masih menjadi tarikan utama kepada para pengunjung dan pelancong. Hujung reka bentuk bangunan yang meruncing ke atas dan berbentuk seperti loceng bersinar itu sangat indah dibina berhampiran dengan bandar yang memiliki latar kehijauan dan kawasan berair yang luas terbentang. Kawasan tersebut masih dikaitkan dengan penjajah British dahulu.

    Wanita-wanita Burma juga kelihatan di sana, ada yang memakai kain sarong tradisional yang telah lama hilang di Asia, dan ada juga yang sedang menggunakan telefon pintar sambil mengelilingi kuil dengan gaya Buddha.

    Meskipun Mawlamyine (sebelum ini dieja sebagai Moulmein) merupakan bandar keempat terbesar Myanmar dan teknologi moden telah berjaya menembusi bandar itu, ia masih mengekalkan ‘jaraknya’ dari dunia, sebahagiannya disebabkan oleh lokasi geografinya.

    Antara gereja yang dibina di Mawlamyine pada abad ke-19 dan masih digunakan sehingga kini. – AP
    Antara gereja yang dibina di Mawlamyine pada abad ke-19 dan masih digunakan sehingga kini. – AP
    Kecantikan Sungai Salween, satu daripada sungai terpanjang dunia yang mengalir di Mawlamyine ke Teluk Martaban. – AP
    Kecantikan Sungai Salween, satu daripada sungai terpanjang dunia yang mengalir di Mawlamyine ke Teluk Martaban. – AP

    Jarak perjalanan dari pintu masuk Antarabangsa Yangon, Myanmar ke bandar tersebut dengan menggunakan jalan raya adalah sejauh 300 kilometer (186 batu). Pilihan lain untuk ke sana adalah dengan menggunakan kereta api usang ataupun penerbangan yang hanya ada sekali-sekala.

    Selama beberapa dekad, pelancong ditegah untuk memasuki kawasan tersebut disebabkan oleh pemberontakan.

    Kini, jumlah pelancong masih sedikit berbanding kawasan Myanmar lainnya. Ia dulu dikenali sebagai Burma sehinggalah berakhirnya pemerintahan tentera pada tahun 2011 dan kemudian pilihan raya yang dimenangi oleh pemimpin pro-demokrasi, Aung San Suu Kyi tahun lepas.

    Perjalanan ke Mawlamyine menggunakan kereta dari Yangon ke Hpa-An, ibu negeri Karen State, Myanmar.

    Kemudian dari sana, pengunjung menggunakan bot berbayar melalui Salween, satu daripada sungai terpanjang dunia.

    Sungai Salween yang mengalir berhampiran dengan Jalan Strand mencantikkan lagi Mawlamyine dan seterusnya menuju ke laut.

    Mawlamyine sebelum ini bukanlah sekadar tempat lintasan. Selepas perang Anglo-Burma, orang-orang British menjadikannya ibu negeri pada tahun 1826 hingga 1852.

    Mereka juga membina pejabat-pejabat kerajaan, gereja-gereja dan penjara besar. Mereka memulakan perniagaan dan akhbar pertama negara itu.

    Kebanyakan peninggalan British masih kekal hingga ke hari ini. Bangunan-bangunan lama lain juga masih wujud di sana termasuk masjid-masjid, kuil-kuil Hindu dan beberapa barangan Amerika. Ini menunjukkan kepelbagaian Mawlamyine.

    Seorang daripada mubaligh Amerika terawal ke tanah asing adalah Adoniram Judson yang telah membina First Baptis Church di bandar itu pada tahun 1827 yang masih digunakan sehingga kini.

    Biarawati Buddha di pasar Mawlamyine sedang mengumpulkan sedekah. – AP
    Biarawati Buddha di pasar Mawlamyine sedang mengumpulkan sedekah. – AP

    Meskipun begitu, seperti bangunan-bangunan khazanah lain di bandar tersebut, ia mula menjadi semakin usang. Walau bagaimanapun, tahap kelamaan bangunan tersebut berjaya menghasilkan pemandangan yang cantik – pucuk-pucuk tumbuh di dinding yang retak dan jam menara terhenti pada angka yang menunjukkan pukul 6:54.

    Walaupun Mawlamyine mempunyai banyak kuil Buddha, para pelancong selalunya tewas kepada keletihan mengelilingi pagoda. Istana kecil yang terdapat di dalam Biara Yadarbon Myint itu mempunyai ukiran-ukiran yang sangat cantik, yang merupakan tempahan khas Permaisuri Sein Don, seorang daripada 45 isteri Mindon iaitu raja kedua terakhir Myanmar.

    Permaisuri kemudian datang ke Mawlamyine setelah Mandalay dijajah oleh British pada tahun 1885 dengan membawa tukang ukirnya dari tempat diraja.

    Hasil ukiran mereka sangat berharga memandangkan istana Mandalay dan kebanyakan khazanahnya dimusnahkan dalam Perang Dunia Kedua.

    Kuil Buddha Mawlamyine akan dipulihara namun khazanah jajahan dan keunikan bandar tersebut masih terancam.

    Menurut Dr Tin Soe, salah seorang penduduk Mawlamyine, ini adalah disebabkan oleh kurangnya kepakaran kerajaan tempatan.

    Pada masa yang sama, pihak tentera pula telah menjual tanah awam untuk mendapatkan duit dan masyarakat awam juga tidak dapat melihat nilai bangunan-bangunan lama itu.

    “Kerajaan tidak ada masa, duit dan pemikiran,” katanya.

    Namun, penduduk diberi sedikit harapan, Dana Warisan Yangon sedang menerajui kempen untuk menyelamatkan seni bina cantik bandar itu dan setakat ini kelihatan berjaya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda