Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Pembangunan berdaya tahan untuk kesejahteraan awam

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Kementerian Pembangunan akan tetap terus berazam dan memperkasa kesejahteraan awam bagi memantapkan lagi sosioekonomi yang lebih berdaya tahan.

    Ke arah usaha itu, Kementerian Pembangunan telah menyusun strategi dan memberikan penekanan serta keutamaan selaras dengan matlamat wawasan negara 2035, di mana akan menumpukan kepada usaha menjamin sekuriti air dan penyediaan bekalan air bersih yang berterusan, pembangunan perumahan awam, pembukaan tanah-tanah kerajaan yang dikenal pasti bagi pelaburan pembangunan campuran, pembangunan infrastruktur bagi mitigasi banjir dan bencana alam serta mendukung strategi di bawah dasar perubahan iklim dan sumbangan bagi penubuhan pusat perubahan iklim ASEAN di negara ini.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar dalam ucapan alu-aluan pada Sesi Muzakarah Kementerian Pembangunan Bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Dengan penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam yang lain, akan diselaraskan dan dirancang secara bersepadu dengan penambahbaikkan penyelarasan antara kementerian dan jabatan yang berkaitan supaya sumber-sumber utama dan aset digunakan dengan optimum, berdaya tahan dan berkualiti dengan mempertingkatkan dasar dan peraturan yang kondusif bagi kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

    Melalui MOD Strategic Planning dan Policy Framework 2018-2023 melihat beberapa aspek perancangan jangka panjang seperti pelaksanaan projek-projek landskap, pengutipan sampah, penjagaan taman dan rekreasi serta pantai, pemotongan pokok-pokok kayu dan sebagainya, yang boleh disatukan di bawah satu agensi bagi mengelakkan duplikasi dan meningkatkan pengawal-seliaan yang efisien dan teratur.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi menyampaikan ucapan alu-aluannya semasa sesi muzakarah antara Kementerian Pembangunan dan ahli-ahli MMN di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan, kelmarin.- Gambar serahan Kementerian Pembangunan
    Yang Berhormat Menteri Pembangunan bersama ahli-ahli MMN ketika sesi bergambar ramai. – Gambar serahan Kementerian Pembangunan

    Selain itu beliau turut berkata bahawa pandemik COVID-19 yang melanda negara telah memberi impak yang sama mendalam terhadap aktiviti seharian, tidak terkecuali juga kepada pelaksanaan projek-projek di bawah kementeriannya.

    “Ia tidak menghalang semua pihak termasuk pihak yang terlibat dalam sektor pembinaan di kementerian ini untuk melaksanakan tugasan mengikut Business Continuity Plan (BCP) masing-masing bagi meneruskan usaha-usaha dan perancangan yang telah dirancang, walaupun melalui cabaran yang sukar dalam menjalankan tugas dan komitmen masing-masing,” tambahnya.

    Beliau menambah pihak kerajaan tetap terus berusaha untuk memberikan bantuan dan sokongan bagi memastikan negara akan dapat pulih daripada kesan jangka panjang krisis pandemik COVID-19 khususnya terhadap kesihatan awam, aktiviti perekonomian dan pembangunan.

    Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa cabaran utama rancangan perumahan negara (RPN) ialah kedayatahanan di mana jumlah permohonan skim bantuan perumahan semakin meningkat.

    Beliau berkata bahawa walaupun usaha untuk menyediakan perumahan di bawah skim RPN yang sedang berjalan pada masa ini, melalui pelaksanaan projek RKN 11 bagi pembinaan kira-kira 1,700 unit rumah kediaman di RPN di Kampung Lugu dan Kampung Tanah Jambu, namun jumlah itu, belum dapat mengimbangi keperluan yang sebenar.

    Beliau berkata usaha perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran menyediakan 85 peratus rumah kediaman untuk rakyat dan penduduk di negara ini menjelang 2035.

    “Kaedah baharu seperti PPP, kerjasama dengan pihak-pihak pemaju, perbankan dan pakar binaan adalah kaedah-kaedah yang sedang diterokai oleh kementerian ini bersama dengan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta Housing Focus Group,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

    Usaha itu, tambahnya, termasuk penyediaan tanah-tanah kerajaan yang dikenal pasti bagi pembinaan rumah di bawah skim bantuan perumahan untuk orang-orang daif yang dikelolakan oleh MUIB, JAPEM dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah terutamanya bagi golongan yang benar-benar memerlukan kediaman yang tidak mempunyai tanah di mana ia akan dapat disediakan de-ngan secepat mungkin.

    Manakala itu, mengulas mengenai Protokol Hijau dalam menangani perubahan iklim, Yang Berhormat Dato berkata sepanjang 2021, Negara Brunei Darussalam merekodkan kejadian bencana alam yang tertinggi dalam tiga tahun kebelakangan ini, terutamanya bagi kejadian banjir, tanah susur dan angin kencang.

    “Jumlah pelepasan rumah hijau negara bagi tahun 2020 telah meningkat sebanyak 35 peratus daripada 2019 adalah tertinggi setakat ini,” tekannya.

    Di sepanjang 2021, Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam telah memainkan peranan aktif dalam sama-sama melaksanakan dasar kebangsaan perubahan iklim Negara Brunei Darussalam bagi membentuk hala tuju negara ke arah sebuah ekonomi yang karbon rendah dan berdaya tahan iklim.

    Beliau turut mendedahkan bahawa negara berada di landasan yang tetap mencapai sasaran komitmen di bawah Perjanjian Paris iaitu mengurangkan jumlah pelepasan gas rumah hijau sebanyak 20 peratus menjelang 2030.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mula mengundi dalam pilihan raya terbesar dunia

    NEW DELHI, 19 APRIL - Berjuta-juta orang India mula mengundi pada hari ini dalam pilihan raya enam minggu yang merupakan referendum ke atas Narendra...