Pembangunan hapus pemakaman Islam tertua

KAHERAH – Menna seorang warga Mesir, ibu kepada tiga orang anak memberitahu bahawa beliau sangat terkejut apabila sebuah jentolak yang membersihkan kawasan untuk membina lebuh raya penuh kontroversi meratakan sebuah makam yang saiznya dua kali ganda daripada rumahnya di kawasan pemakaman yang berselerak itu.

“Jentolak itu tiba-tiba merempuh dinding dan kami melontarkan barang-barang kami ke luar dalam keadaan panik,” ujarnya kepada media.

“Mereka menghalau kami ke jalanan,” katanya, yang dikelilingi oleh runtuhan dan batu-batan di tapak yang tersenarai sebagai tapak warisan dunia UNESCO itu.

Ibu bapa dan datuk nenek Menna telah lama tinggal di salah sebuah makam di kawasan yang dikenali sebagai City of the Dead atau Bandar Orang Mati, kawasan pemakaman Islam tertua yang luas itu.

Bagi mereka yang tidak mampu membayar sewa yang mahal di ibu kota Mesir, bilik-bilik makam telah menjadi tempat tinggal bagi ribuan orang yang senasib dengannya.

Seorang pekerja menggali menggunakan cangkul semasa kerja-kerja pemusnahan makam berikutan projek pembinaan lebuh raya di Bandar Orang Mati yang bersejarah di Kaherah, Mesir. – AFP
Wanita-wanita yang tinggal di kawasan pemakaman berdiri antara runtuhan makam yang dimusnahkan. – AFP
Kubah makam Sultan Abu Said al-Zahir Qansuh al-Ashrafi (1498-1500) yang usang di tengah-tengah pembinaan lebuh raya di Bandar Orang Mati. – AFP
Suasana kerja-kerja pemusnahan kawasan pemakaman dan pembinaan jejambat baharu yang melintasi kawasan permakaman Basatin, di selatan Kaherah yang bersejarah. – AFP

Ramai yang telah menambah binaan pada makam-makam yang asal, tinggal bersama-sama dalam suasana tenang, namun pelik, bersebelahan dengan jasad para sultan, penyanyi dan tokoh-tokoh agama di pemakaman yang berselerak di timur Kaherah itu.

Namun Menna berkata ketenangannya dan para si mati telah musnah dengan kedatangan pekerja-pekerja buruh.

“Ia teruk sekali. Kami memindahkan si mati menggunakan tikar jerami,” ujarnya.

Dia bersama suaminya telah memindahkan beberapa jasad, termasuk jasad ayahnya sendiri, ke satu sudut rumahnya yang masih berdiri. Menna kini tinggal bersama jirannya di kawasan pemakaman yang tidak termasuk dalam kawasan yang akan dimusnahkan.

Puluhan jasad telah dipindahkan oleh buruh-buruh binaan pada separuh kedua bulan Julai, menurut media tempatan, untuk memberi ruang kepada pembinaan Lebuhraya Al-Ferdaous, yang bermaksud Lebuh Raya Syurga, sepanjang 17.5 kilometer (11 batu).

Polisi jentolak

Ferdaous, yang menghubungkan jalan-jalan raya utama di Kaherah, merupakan salah satu langkah pembangunan terbaharu yang termasuk dalam visi banda raya Presiden Abdel Fattah al-Sisi.

Beliau berhasrat untuk memindahkan pusat politik ke ibu negara yang baharu, yang terletak kira-kira 45 kilometer di timur Kaherah, sebuah projek mega di kawasan padang pasir yang dikendalikan oleh jurutera pihak tentera.

Sisi yang mengetuai tentera telah menggulingkan presiden Mohamed Morsi pada tahun 2013 berikutan bantahan besar-besaran menentang pemerintahan pemimpin Islam itu.

Beliau telah memenangi penggal pertamanya sebagai presiden pada tahun 2014 dan sekali lagi dipilih sebagai presiden empat tahun kemudian dengan lebih daripada 97 peratus undian.

Bukan hanya penduduk-penduduk di Bandar Orang Mati yang berasa kecewa dengan kerja-kerja pemusnahan yang dilakukan di sana. Galila El-Kadi, seorang arkitek yang berpangkalan di Marseille dan pengkaji bandar raya, berkata tapak itu merupakan “komponen penting” dalam sejarah bandar raya ibu negara itu.

Sebuah tempat persemadian terakhir bagi tokoh-tokoh terkenal termasuk penyanyi Farid al-Atrash dan penulis Ihsan Abdel Kouddous dan orang-orang Mesir lainnya, kawasan pemakaman Islam itu diasaskan pada kurun ke-7 Masihi dengan keluasan lebih 6.5 kilometer (4 batu).

Ia dipenuhi dengan kubah-kubah yang dihiasi dengan ukiran ayat-ayat suci Al-Quran yang memukau mata para pelukis dan sejarawan.

Kadi, penulis buku mengenai Bandar Orang Mati (al-Qarafa dalam Bahasa Arabnya), berkata kerja pemusnahan itu telah mencecah perimeter bersejarah di mana tokoh-tokoh masyhur dikebumikan, termasuk Sultan Abu Said Qansuh daripada pemerintahan dinasti Mamluk di kurun ke-15 Masihi.

Beliau mengatakan kerja-kerja pemusnahan itu akan mengakibatkan Kaherah kehilangan “Identiti visual dan memorinya”.

Mereka telah mendedahkan perwatakan yang “membuta dan sembarangan” dalam merancang visi bandar raya, didorong oleh “polisi jentolak,” ujar Kadi.

UNESCO telah memberitahu media bahawa mereka “tidak dimaklumkan atau dibawa berunding” mengenai kerja-kerja pemusnahan yang dijalankan pada bulan Julai itu.

“Pusat Warisan Dunia sedang mengikuti perkembangan daripada pihak berkuasa Mesir untuk mengkaji semula perkara itu dan menaksir sebarang impak berpotensi ke atas Peninggalan Berharga Dunia itu, ketulenan dan keutuhan integriti harta benda,” tambahnya.

Penganiayaan tanpa belas kasihan

Di media sosial, penduduk-penduduk Mesir telah merakamkan kemusnahan itu dengan foto-foto makam ahli-ahli keluarga mereka dan makam-makam bersejarah.

Seorang pengguna Twitter yang dikenali melalui nama akaunnya, @morocropolis berkata keluarga ibunya sudah lama memiliki makam di Qunsah Street semenjak tahun 1940an.

Beliau enggan memberikan nama penuhnya kerana khuatir kritikannya terhadap projek lebuh raya itu akan menimpakan masalah ke atasnya.

Pihak berkuasa “memberitahu kami yang mereka memerlukan sebahagian daripada bilik makam wanita, namun mereka bertindak memusnahkan pagar dan batu-batu nisan sebelum jasad-jasad dipindahkan,” katanya kepada media.

Beliau berkata lagi, dia tidak akan diberikan sebarang pampasan kerana makam itu hanya dimusnahkan separuh, bukannya sepenuhnya.

Kementerian antikuiti Mesir mempertahankan kerja-kerja yang berjalan di kawasan pemakaman itu bulan lepas dan berkata “tiada kemusnahan yang dilakukan pada monumen-monumen”. Hanya “kubur-kubur terbaharu” yang dipindahkan, ujarnya.

Namun Menna mengatakan beliau dihantui oleh jasad-jasad yang terganggu. “Mereka menganiaya orang-orang yang hidup dan mati, tanpa belas kasihan… dan akhirnya, tiada sesiapa yang peduli terhadap kami.” – AFP