Pembangunan infrastruktur bantu cari bakat baharu e-sukan

JOHOR BAHRU, 24 OKT – Pembangunan infrastruktur serta program akar umbi untuk mencari bakat baharu adalah antara harapan pemain-pemain industri sukan elektronik (e-sukan) dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan, Jumaat lalu.

Bagi pemain e-sukan bertaraf antarabangsa, Muhammad Mukhriz Lutfi Fariq Adlan, 22, meskipun sudah berkecimpung dalam bidang itu sejak berusia 16 tahun lagi, hanya segelintir dalam kalangan masyarakat yang mengetahui mengenai potensi serta ganjaran yang ditawarkan.

“Untuk membangunkan lagi sukan ini misalnya, faktor penajaan turut memainkan peranan penting. Masih banyak kekurangan termasuk daripada segi kewangan. Komuniti kami macam terasing, masih ramai yang tak tahu, tak tahu kerja mana, pendapatan macam mana. Pendapatan dalam e-sukan sebenarnya ok cuma kurang daripada segi penajaan.

Macam sukan lain, seperti bola sepak misalnya, bila dapat penajaan, mereka berpeluang untuk memajukan diri dan ini dapat dilihat dari segi prestasi selepas itu,” katanya ketika ditemui pemberita di hab e-sukan, HomeBois, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan 1, Mohd Shahar Abdullah melawat HomeBois di sini, yang merupakan sebahagian daripada program jelajah beliau ke negeri ini sempena Bajet 2022.

Selain itu, Mukhriz atau nama lebih dikenali sebagai “IronPro”, turut berpendapat perlunya diwujudkan sebuah akademi untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam e-sukan memandangkan tiada platform khusus kepada program akar umbi.

Turut senada dengan beliau ialah Pengurus Produksi HomeBois, Mohamad Nor Mohd Mochtar, 30. Beliau berharap lebih banyak program untuk mencungkil bakat-bakat muda dapat diketengahkan pada masa hadapan.

“Malaysia sememangnya negara yang mempunyai proven talent (bakat terbukti) di luar negara dan mungkin ada banyak talent-talent (bakat-bakat) yang belum dikenal pasti dan dengan adanya peruntukan dalam bajet kali ini, kita boleh cungkil bakat mereka ini,” kata beliau lagi. – Bernama