Oleh Lenna N.B.
Pusat Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD) atau Pusat Pembinaan Jati Diri telah ditubuhkan pada tahun 1996 sebagai institusi pusat pendidikan pengembaraan luar, dengan tekad untuk menjadi sebuah pusat Outward Bound yang cemerlang dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Pembelajaran-pembelajaran yang ditawarkan adalah merangkumi pelbagai kegiatan yang mencabar mental dan fizikal bagi melatih kemahiran belia, kepimpinan dan pembangunan diri.
Penubuhan pusat tersebut adalah sebagai mendukung kepada petikan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena dengan Hari Keputeraan Baginda ke-47 Tahun di Daerah Temburong, pada 22 Julai 1993.
Baginda antara lain menyatakan; “Penubuhan Outward Bound School di Kuala Belalong adalah bertujuan untuk membolehkan para belia membina ketahanan fizikal dan kemantapan mental serta melengkapkan diri dengan sifat-sifat tabah, berani dan sabar, berdisiplin, berdikari dan bertanggungjawab serta dapat menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan penghidupan. Projek ini akan turut didukung berupa sumbangan kewangan oleh pihak Syarikat Minyak Shell Brunei Sendirian Berhad”.
Justeru, ia adalah cukup jelas bahawa misi utama Pusat OBBD ini adalah untuk membentuk peribadi rakyat Brunei, khususnya belia melalui latihan pengalaman dan pengembaraan untuk meningkatkan dan memupuk kepintaran, kesedaran, disiplin, sifat berdikari, sifat bertanggungjawab, tekad untuk berjaya, kepimpinan serta keupayaan bekerja secara berpasukan supaya mereka dapat menyumbangkan bakti kepada pembangunan negara.
Dalam tahun 2001, Pusat OBBD telah dianugerahkan ‘Lisen Tetap/Keahlian Penuh’ oleh badan induk Outward Bound Antarabangsa setelah kira-kira tiga tahun memegang ‘Lisen/Keahlian Sementera’.










Program belia bantu bentuk jati diri
Pada tahun ini, OBBD telah menawarkan tiga program belia iaitu Kursus Teroka Cabaran yang menjurus kepada pembangunan keyakinan diri, Kursus Sekapur Sireh Potensi Belia dalam melatih kemahiran/ kemampuan belia ketika menghadapi cabaran dan Kursus Sekapur Sireh Kepimpinan berperanan untuk membentuk semangat kepimpinan belia dalam mengungkayahkan tugasan-tugasan tertentu.
“Ketiga-tiga kursus ini melibatkan kegiatan-kegiatan luar yang mencabar bagi membentuk pembangunan jati diri belia di mana ia akan memberi kesan kepada kehidupan mereka selepas itu. Pada tahun-tahun sebelumnya, kami hanya menerima peserta secara berkumpulan sama ada persatuan, agensi kerajaan, swasta, kumpulan belia, pelajar-pelajar sekolah, kumpulan persendirian dan sebagainya.
“Namun, pada tahun ini, kami menerima peserta-peserta secara individual yang seterusnya akan disatukan dengan peserta-peserta lain, iaitu minimum disertai oleh lapan orang peserta dalam sebuah program. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, apabila mereka perlu mencari kumpulan-kumpulan tertentu untuk menyertai program kami. Ini merupakan peluang bagi mereka yang tidak mempunyai kumpulan atau bergerak secara individu,” jelas Pegawai Latihan OBBD, Hajah Sofinaz binti Haji Abdul Majid, ketika ditemuramah wartawan Media Permata baru-baru ini.
Menurut beliau, setiap program adalah latihan yang dipercayai dapat membangun jati diri belia melalui peribadi, terutamanya membentuk keberanian dan kesabaran, sikap berusaha yang tidak putus-putus, membina kreativiti belia, bijak dalam pengurusan masa, kemahiran berkomunikasi, pembangunan secara spiritual terutamanya dalam mencintai agama, serta pembangunan ketahanan fizikal.
Hasilnya, ia akan memberi kesan yang berpanjangan dalam kehidupan mereka di mana ia dapat membantu mereka untuk menjalankan kehidupan harian yang lebih aktif, serta sentiasa mempunyai matlamat hidup setiap kali melangkah ke hadapan. Semua ini dapat dihayati dan dirasai peserta dalam setiap kursus program yang telah dibentuk khas untuk pembangunan jati diri belia.
Tingkat keyakinan dan potensi belia
Kursus Teroka Cabaran berlangsung selama dua hari yang melibatkan aktiviti-aktiviti kegiatan luar seperti Kubung Terbang (Flying Fox), Elemen Tali Aras Tinggi (High Rope Element), Memanjat Dinding Batu (Rock Climbing) dan aktiviti-aktiviti berkumpulan yang dibentuk khas untuk mendorong sikap berani dan keyakinan diri dalam diri belia.
“Dalam kursus ini, kami juga meminta setiap peserta untuk melakukan pembentangan dalam perkumpulan. Ini secara langsung menaikkan lagi keyakinan mereka di hadapan orang ramai,” tambah Hajah Sofinaz.
Yuran kursus ini secara keseluruhannya adalah ditawarkan pada kadar harga yang berpatutan di mana ia merangkumi yuran aktiviti, penyediaan makanan selama dua hari, perkhidmatan kenderaan bot dan insurans.
Makanan yang disediakan adalah termasuk sarapan pagi, makanan tengahari, makan malam dan makanan tengah malam yang cukup sebagai tenaga untuk melakukan aktiviti-aktiviti di bawah program OBBD.
Sementara, kursus Sekapur Sireh Potensi Belia pula adalah sebuah program pembangunan jati diri belia yang diadakan selama tiga hari dalam meneroka potensi belia sama ada dari segi kepimpinan, kerjasama, tanggungjawab, keyakinan diri dan sebagainya.
Selain aktiviti-aktiviti yang melibatkan ketinggian, ia juga merangkumi aktiviti meredah hutan, berkayak dan kerja berkumpulan.
Manakala, kursus Sekapur Sireh Kepimpinan adalah kursus program yang diadakan selama empat hari yang menggabungkan tiga elemen aktiviti utama iaitu aktiviti yang melibatkan ketinggian seperti Kubung Terbang, Memanjat Dinding Batu, Elemen Tali Aras Tinggi dan sebagainya, aktiviti di atas darat umpamanya meredah hutan, dan aktiviti di kawasan air seperti berkayak, berakit dan lain-lain.
Aktiviti tambahan pula adalah aktiviti berkumpulan yang memerlukan kebijaksanaan peserta menyelesaikan sebuah projek bersama ahli-ahli kumpulannya di mana ia sekaligus dapat meningkatkan sikap bekerjasama dalam diri seseorang belia.
Selain ketiga-tiga kursus tersebut, OBBD juga menawarkan program kursus Titik Teroka selama satu hari, Kursus Kesedaran Peribadi yang diadakan selama lima hingga tujuh hari, Kursus Cabaran Peribadi diadakan selama lapan hingga 11 hari dan Kursus Cabaran Jati Diri pula diadakan selama 12 hingga 14 hari.
“Sebenarnya, kami merangka setiap program itu berdasarkan sasaran utama peserta. Melalui sasaran mereka itu, kami berusaha untuk membantu peserta-peserta kami mencapai matlamat mereka dalam mengikuti program-program ini sama ada untuk membina keyakinan, membentuk sikap kerjasama antara sesama pekerja atau peserta, membina kemahiran kepimpinan mereka dan sebagainya,” jelas Hajah Sofinaz.
Namun, oleh kerana aktiviti-aktiviti ini kebanyakannya agak ekstrem, para peserta terutamanya dalam program yang mengambil masa selama tiga hari ke atas perlu menjalani pemeriksaan kesihatan yang boleh dibuat di klinik-klinik swasta atau Pusat Perubatan Sukan Hassanal Bolkiah.
Hanya mereka yang disahkan ‘Sihat’ sahaja dibenarkan mengikuti kursus program di pusat ini bagi mengelakkan kejadian-kejadian yang boleh membahayakan kesihatan peserta seperti mereka yang mengandung, mengalami patah tulang, sakit jantung dan sebagainya.
Manakala perkhidmatan sampingan yang ditawarkan oleh OBBD pula adalah aktiviti bermalam di Pusat Operasi, berakit atau berkayak, berkhemah, cabaran tali-menali, kubung terbang dan memanjat dinding batu, penyewaan perahu temuan, abseiling, meredah hutan dan sebagainya.
Memperkembangkan semangat jati diri
Menurut Hajah Sofinaz, Pegawai Latihan OBBD, sehingga hari ini rekod peserta latihan program kursus mencapai 1,000 lebih orang hingga 2,000 orang setahun sejak penubuhannya. Ini menunjukkan respon yang memberangsangkan daripada orang ramai sama ada dari agensi kerajaan, swasta, persatuan atau orang-orang persendirian.
“Memang ramai yang menangis ketika ikut serta dalam program kursus ini kerana ketakutan yang masih menguasai dalam jiwa mereka, namun selepas berjaya melaluinya, mereka telah membuktikan bahawa mereka adalah seorang yang bersifat berani, kental dan yakin walaupun menghadapi pelbagai cabaran di hadapan mereka. Ringkasnya, mereka berjaya keluar daripada zon selesa. Inilah yang mereka bakal hadapi dalam kehidupan harian di masa akan datang,” ucap Hajah Sofinaz di hujung temuramah.
Lalu, ambil peluang untuk mengalami sendiri dunia cabaran anda bersama OBBD.
































