Pembangunan pesat punca India ‘ketagih’ arang batu

NEW DELHI – Walaupun ibu negaranya diselubungi asbut beracun, India mengetuai usaha untuk melemahkan ikrar antiarang batu pada sidang kemuncak Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (COP26), dengan pakar mengatakan ia mengutamakan pertumbuhan ekonominya berban-ding masa depan bumi ini.

Pencemar ketiga terbesar di dunia bekerjsama dengan China untuk mengurangkan perbincangan mengenai bahan api fosil pada persidangan Glasgow, memaksa kompromi: perjanjian iklim yang mengikat negara untuk ‘mengurangkan’ tetapi tidak ‘menghapuskan’ penggunaan arang batu.

Penentangan India terhadap sekatan yang lebih bercita-citai tinggi terhadap tenaga kotor didorong oleh keperluannya terhadap bahan api yang murah untuk menggerakkan ekonomi yang berkembang pesat dan mengeluarkan ratusan juta rakyatnya daripada kemiskinan yang berakar umbi.

“Kami mempunyai populasi yang besar yang masih belum mencapai taraf hidup minimum asas,” kata Samrat Sengupta, pakar perubahan iklim di pusat sains dan alam sekitar yang berpangkalan di New Delhi, kepada AFP.

Penggunaan arang batu telah meningkat hampir dua kali ganda dalam dekad yang lalu – hanya China yang membakar lebih banyak – dan bahan api masih menguasai 70 peratus grid elektrik India.

Pekerja bersedia untuk memuatkan arang batu ke trak di ladang arang batu Jharia. – AFP
Kenderaan berulang-alik dalam laluan di sepanjang jalan di tengah-tengah keadaan berkabus di New Delhi. – AFP

Kerajaan telah memperlambat usaha untuk mengadakan peraturan yang lebih ketat untuk loji arang batu dan baru tahun lepas mengumumkan satu siri lelongan perlombongan komersial untuk meningkatkan pengeluaran domestik.

Perdana Menteri, Narendra Modi komited untuk membiasakan negaranya tidak menggunakan arang batu, tetapi memberitahu perwakilan Glasgow, India hanya akan menyasarkan untuk menjadi neutral karbon menjelang 2070 – sedekad selepas China dan 20 tahun selepas pencemar besar lain di dunia.

Tetapi tanpa tindakan tegas lebih awal, pakar memberi amaran pencemaran di India akan melonjak pada tahun-tahun akan datang dan menghalang usaha seluruh dunia untuk mengekang pemanasan global.

Kesan ketagihan bahan api fosil India sudah pun dirasai, dengan jerebu kelabu tebal menyelubungi New Delhi setiap musim sejuk.

Emisi loji arang batu dan asap ekzos kenderaan bergabung dengan asap dari kebakaran ladang yang melemaskan 20 juta penduduk bandar besar itu.

Pada hari yang sama ketika perwakilan COP26 memuktamadkan perjanjian iklim global, Delhi menutup sekolahnya selama seminggu untuk menggalakkan kanak-kanak kekal di dalam rumah.

Asap dipersalahkan bagi lebih daripada sejuta kematian di India setiap tahun dan kajian Universiti Chicago baru-baru ini mendapati bahawa pencemaran udara berkemungkinan mengurangkan jangka hayat lebih daripada sembilan tahun untuk empat dalam setiap 10 orang India.

Kerajaan Modi berhasrat untuk mengurangkan masalah itu dengan meningkatkan tenaga boleh diperbaharui, berjanji untuk menjadikan kuasa solar sebagai sebahagian besar daripada campuran tenaga dengan arang batu menjelang akhir dekad.

Tetapi India tidak mempunyai kapasiti berteknologi tinggi untuk memenuhi permintaan bagi membina panel solar dan sangat bergantung pada komponen mahal dari luar negara.

India telah cuba memacu perbuatan domestik teknologi solar dengan menaikkan duti import, meningkatkan kos tenaga boleh diperbaharui.

Matlamat solar 2030 “adalah sasaran yang besar dan sangat sukar untuk dicapai,” kata Sengupta.

“Ia memerlukan banyak peruntukan kewangan dan teknologi murah untuk disediakan.”

India telah lama berhujah bahawa pencemar besar seperti Amerika Syarikat dan Eropah bertanggungjawab untuk menyediakan kepakaran teknikal dan pembiayaan untuk pengurangan iklim.

Menteri alam sekitarnya memberitahu perwakilan COP26 pada Sabtu lalu bahawa negara membangun “berhak untuk menggunakan bahan api fosil yang bertanggungjawab.”

Bhupender Yadav berkata negara-negara yang mempunyai sedikit tanggungjawab sejarah terhadap perubahan iklim tidak seharusnya dipegang pada piawaian yang sama seperti pencemar per kapita terbesar di dunia.

“Dalam keadaan sebegitu, bagaimana sesiapa boleh mengharapkan negara membangun berjanji untuk menghapuskan subsidi arang batu dan bahan api fosil secara berperingkat?” soalnya.

Komitment COP26 yang lemah telah diterima pakai dengan keengganan yang mendalam oleh negara lain, yang bimbang untuk menyelesaikan perjanjian itu selepas dua minggu rundingan tanpa henti.

Negara-negara membangun lain – termasuk negara-negara pulau Pasifik yang menghadapi ancaman peningkatan paras laut akibat pemanasan global – bimbang dengan cadangan bahawa campur tangan saat-saat akhir India dilakukan mewakili pihak mereka.

Peguam negara Fiji, Aiyaz Sayed-Khaiyum menyatakan “bukan hanya rasa hairan, tetapi kekecewaan yang besar dalam cara ia telah diperkenalkan.” – AFP