Pembangunan sukan jadi keutamaan

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Dalam usaha mengembangkan dan meningkatkan keupayaan atlet di negara ini, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengenal pasti beberapa langkah pembaikan dan perubahan kepada kaedah penilaian keupayaan dan potensi atlet.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa menghadiri Sesi Muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang diadakan di Pusat Sejarah Brunei, kelmarin.

Yang Berhormat Dato seterusnya menambah bahawa memberikan keutamaan kepada pembangunan sukan adalah sangat penting, di mana beliau telah menyaksikan kejayaan Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) yang lalu telah mendapat perhatian secara meluas di negara ini dan sekali gus dapat dijadikan sebagai platform untuk mencari bakat baharu serta membuka ruang untuk bekerjasama bersama kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, penggunaan kaedah saintifik ke arah pembangunan atlet telah pun dipertingkatkan khususnya kepada para jurulatih, atlet dan persatuan agar sebanding dengan atlet antarabangsa.

Pada sesi muzakarah itu, Yang Berhormat Dato turut melahirkan rasa berbangga apabila Negara Brunei Darussalam berjaya menganjurkan sukan di peringkat serantau iaitu Piala Hassanal Bolkiah, Kejohanan Bola Sepak bagi Belia ASEAN 2018 dan AFF Suzuki Cup Qualifying Rounds, malah negara juga akan menjadi tuan rumah kepada BIMP-EAGA Friendship Games Disember depan.

Beliau turut berkongsi maklumat mengenai projek penaiktarafan Stadium Negara Hassanal Bolkiah yang mana fasa pertama telah pun selesai dilaksanakan dan akan disusuli dengan fasa kedua termasuklah penaiktarafan melibatkan penetapan gelanggang sukan seperti wusyu, karate, tekwando dan silat di stadium berkenaan.

Penaiktarafan berkenaan melibatkan kerja-kerja seperti facelifting, pembaikan struktur, perubahan layout, meningkatkan keselamatan dan meningkatkan kapasiti.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika mengadakan sesi muzakarah bersama ahli-ahli MMN di Pusat Sejarah Brunei, baru-baru ini.