Pembantah anti-Junta dibebaskan

YANGON, 19 OKT – Para pembantah anti rampasan kuasa yang baru dibebaskan di Myanmar bersatu semula dengan keluarga mereka di luar sebuah penjara Yangon, hari ini dalam suasana memilukan pada hari kedua pengampunan junta ketika tekanan antarabangsa meningkat ke atas rejim tersebut.

Negara berkenaan berada dalam keadaan huru-hara sejak rampasan kuasa pada Februari, dengan lebih 1,100 orang awam terbunuh dalam tindakan keras ke atas penentang dan lebih 8,000 orang ditahan, menurut sebuah kumpulan pemerhati tempatan.

Kelmarin, rejim tentera itu berkata bahawa ia akan membebaskan lebih 5,000 orang bagi memperingati festival Buddhist Thadingyut selama tiga hari, membuatkan ramai ahli keluarga yang bimbang bergegas ke penjara-penjara, gembira dengan prospek pertemuan semula selepas berbulan-bulan berpisah.

“Saya sangat merindui kamu,” seorang ibu menangis sambil memeluk anak mudanya. “Saya sangat berbangga dengan kamu,” katanya lagi.

Dia adalah antara beratus-ratus orang yang berhimpun awal pagi hari ini di luar penjara Insein era kolonial di Yangon, sebilangannya membawa bunga-bunga dan pelekat yang memaparkan nama-nama keluarga mereka.

Bas keluar, dengan bekas-bekas tahanan di dalamnya memberi isyarat tanda bagus melalui tingkap kepada orang ramai yang bersorak, sebilangannya memberikan tabik dengan tiga jari, isyarat yang digunakan oleh pergerakan demokrasi.

Pengampunan berkenaan adalah “satu tindak balas taktikal terhadap suasana domestik dan antarabangsa yang menentang,” Richard Horsey dari Kumpulan Krisis Antarabangsa memberitahu AFP.

“Langkah sinis sebegini mungkin berkesan 20 tahun lalu… tetapi ia mungkin tidak dapat memperbaiki kedudukan rejim ini,” katanya. – AFP

Seorang lelaki bersatu semula dengan keluarganya selepas dibebaskan dari Penjara Insein di Yangon, semalam, apabila pihak berkuasa membebaskan beribu-ribu orang yang dipenjara kerana menentang rampasan kuasa Februari lalu yang menggulingkan kerajaan awam. – AFP