Pembantah HK ingkari amaran Xi

HONG KONG, 15 NOV – Pembantah pro-demokrasi Hong Kong mengingkari amaran oleh Presiden China Xi Jinping dan sekali lagi mengadakan bantahan jalanan hari ini, ketika kekacauan politik merebak ke London di mana seorang menteri dari bandar itu dikepung oleh pembantah bertopeng.

Hong Kong sudah pun menyaksikan bantahan tidak berkesudahan semenjak Jun ketika ramai di bandar 7.5 juta penduduk itu melepaskan kemarahan di atas kebebasan yang semakin tersekat. Keganasan terus meningkat dan ketegangan turut merebak ke luar negara, mencetuskan pergeseran antara China dan Britain yang mentadbir Hong Kong sehingga tahun 1997.

Semalam, Setiausaha Kehakiman Hong Kong, Teresa Cheng jatuh di London selepas dikepung oleh pembantah pro-demokrasi dalam konfrontasi fizikal membabitkan seorang anggota kabinet semenjak kekacauan bermula.

Cheng bagaimanapun berlalu pergi tanpa kecederaan. Namun China menggelarnya ‘satu serangan mengejutkan’ dan menuduh Britain menyemarakkan pergerakan pembantah.

Britain, bekas kuasa penjajah wilayah itu sudah pun menggesa Beiijing dan Hong Kong mencari jalan penyelesaian politik terhadap krisis di wilayah itu dan mengecam keganasan yang semakin memburuk di kedua-dua belah pihak.

Dalam pada itu, pembantah berpakaian serba hitam, melakukan bantahan di kampus-kampus universiti, manakala bandar itu sekali lagi berhadapan gangguan pengangkutan dengan rangkaian kereta api dirosakkan dan jalan raya disekat dengan pengadang.

Tindakan mereka adalah bagi mengingkari amaran oleh Presiden China, Xi pada Khamis yang menyokong Lam dan pasukan polis, dalam masa yang sama memberi amaran bahawa gerakan pembantah itu mengancam prinsip pentadbiran ‘satu negara, dua sistem’ bandar separa autonomi itu.

Xi mengatakan ‘menghentikan keganasan dan mengawal huru-hara’ adalah satu keutamaan. – AFP

Seorang lelaki berjalan melepasi pengadang yang dibina pembantah di Universiti Baptist Hong Kong, 15 November. Pembantah terus mengingkari amaran Xi dengan mengadakan perhimpunan di jalan-jalan dan universiti hari ini. – AP