Monday, March 24, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembantah kecam Trump

    MANILA, 20 Jan – Beratus-ratus rakyat Filipina berhimpun di kedutaan Amerika Syarikat (AS) hari ini untuk mengutuk Donald Trump sebelum pelantikan rasminya sebagai presiden AS, dengan menuduhnya seksisme, rasisme dan gerun orang asing (xenofobia).

    Dengan menjerit nama Trump, para pembantah dari kumpulan berhaluan kiri juga melahirkan kebimbangan bahawa Trump adalah ancaman kepada berjuta-juta penghijrah Filipina yang tinggal di AS.

    “Mencemaskan apabila mengetahui orang yang dituduh pemangsa seksual, lelaki yang dikenali sebagai bersifat perkauman, seksis, xenofobia memegang jawatan presiden bagi negara kapitalis yang paling berpengaruh di dunia,” Joms Salvador, setiausaha agung bagi kumpulan wanita, Gabriela, memberitahu AFP.

    “Perjuangan wanita di seluruh dunia selama berdekad-dekad untuk berjuang bagi hak-hak mereka diancam oleh pelantikan Trump sebagai presiden.”

    Kira-kira 300 orang yang berhimpun berhampiran kedutaan AS di Manila membawa sepanduk dengan mesej berbaur kritikan dan hinaan ke atas Trump. Dengan simbolik mereka membuang gambar-gambar Trump ke dalam tong sampah.

    Trump mengalahkan Hillary Clinton selepas kempen yang memecahbelahkan yang mana jutawan hartanah itu berikrar akan mengusir berjuta-juta penghijrah haram dan berdepan banyak tuduhan gangguan seksual.

    “Kami bimbangkan para pekerja Filipina di AS berdepan dengan rasisme yang meningkat. Sebilangan warga Filipina di sana menjadi terlalu curiga tentang keselamatan diri mereka dan keselamatan pekerjaan mereka,” kata Salvador.

    Para pembantah pada perhimpunan hari ini juga membakar bendera Amerika ketika mereka mengulangi tuntutan lama mereka supaya tentera Amerika meninggalkan Filipina dan mengoyak apa yang mereka panggil perjanjian tentera ‘yang tidak setara’. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda