Pembantah Sudan tuntut pembentukan kerajaan awam

KHARTOUM, 14 April – Para penganjur bantahan di Sudan mengemukakan tuntutan yang termasuklah pembentukan kerajaan awam dalam rundingan dengan para ketua tentera baharu negara itu lewat semalam, menurut kumpulan yang mengetuai tunjuk perasaan.

Beribu-ribu orang masih berkhemah di luar ibu pejabat tentera di bandar itu semalaman untuk menambah tekanan ke atas majlis tentera yang mengambil alih kuasa selepas menyingkirkan pemimpin veteran Omar al-Bashir Khamis lalu.

Delegasi 10 orang anggota yang mewakili para pembantah telah mengadakan rundingan dengan majlis tentera dan mengemukakan tuntutan mereka semalam, menurut kenyataan kumpulan penaung yang menerajui bantahan, Perikatan Kebebasan dan Perubahan.

Salah seorang ketua perikatan ini, Omar al-Degier berkata dalam kenyataan bahawa tuntutan termasuklah menstrukturkan semula Perkhidmatan Keselamatan dan Perisikan kebangsaan (NISS) yang digeruni di negara itu yang mana ketuanya Salih Ghosh telah meletak jawatan ekoran penyingkiran Bashir.

“Kami akan teruskan mogok kami sehingga permintaan kami dipenuhi,” yang termasuklah pembentukan kerajaan awam sepenuhnya, ujar Degier.

Perikatan bagi Kebebasan dan Perubahan menegaskan perwakilan-perwakilan awam seharusnya diterima ke majlis tentera dan kerajaan awam sepenuhnya hendakilah dibentuk untuk mengendali pentadbiran harian.

Seorang pembantah yang bermalam di kompleks tentera berkata “Kami pasti mahu tuntutan kami dipenuhi, tetapi kedua belah pihak perlu fleksibel untuk mencapai perjanjian.” – AFP