Pembantah tuntut tentera serah kuasa

KHARTOUM, 15 April – Pemban-tah Sudan semalam menuntut pemerintah tentera negara itu supaya menyerahkan kuasa dengan serta-merta kepada kerajaan awam yang akan menghadapkan Omar al-Bashir ke muka pengadilan.

Beribu-ribu orang masih berkhemah di luar ibu pejabat tentera Khartoum untuk meneruskan desakan ke atas majlis tentera yang mengambil alih kuasa selepas menyingkirkan Bashir pada Khamis lalu.

Pertubuhan yang mempelopori bantahan ke atas Bashir, Persatuan Profesional Sudan (SPA), meminta majlis supaya ‘memindah kuasa dengan serta merta kepada kerajaan awam.’

SPA juga menuntut ‘bakal kerajaan peralihan dan angkatan bersenjata membawa Bashir dan semua ketua Risikan Negara dan Perkhidmatan Keselamatan (NISS) ke muka pengadilan.’

“Persatuan Profesional Sudan menyeru penyokongnya supaya meneruskan mogok sehingga revolusi mencapai tuntutannya,” tambahnya.

Majlis tentera mengadakan persidangan akhbar di mana jurucakapnya tidak memberi respons kepada permintaan terbaharu pembantah. Sebaliknya ia mengumumkan pelantikan seorang ketua perisik baharu.

Sebelum ini, majlis tentera bertemu dengan parti politik dan menggesa mereka supaya mencapai persetujuan mengenai seorang ‘tokoh bebas’ untuk menjadi perdana menteri, kata wartawan AFP yang hadir pada mesyuarat itu.

“Kami mahu menubuhkan sebuah kerajaan awam berdasarkan pada kebebasan, keadilan dan demokrasi,” beritahu seorang ahli majlis, leftenan Jeneral Yasser al-Ata, kepada beberapa parti politik, menyeru mereka supaya mencapai persetujuan mengenai tokoh untuk menyertai kerajaan awam.

Pembantah telah menegaskan wakil awam mesti menyertai majlis tentera. Satu perwakilan yang terdiri daripada 10 anggota pembantah mengemukakan permintaan mereka ketika rundingan dengan majlis pada lewat Sabtu, menurut satu kenyataan oleh kumpulan naungan Gabungan Kebebasan dan Perubahan yang mempelopori rapat yang diadakan. – AFP

Para penunjuk perasaan Sudan berkumpul di depan ibu pejabat tentera di Khartoum, kelmarin. – AFP