BUKIT MERTAJAM, 12 SEPT – Polis sedang mengesan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai mencuri barang kemas majikannya bernilai RM69,000 sebelum melarikan diri dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bukit, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Tan Cheng San, berkata wanita dikenali sebagai Eka Lestari, 27, itu baru bekerja di rumah majikannya tiga bulan lepas dan telah melarikan diri dengan turut membawa bersama pasportnya.
Katanya, majikan, seorang doktor, 33, menyedari pembantu rumahnya tiada di rumah pada jam 6 pagi pada hari kejadian dan membuat laporan polis berhubung kehilangan wanita itu.
“Namun dia dan isterinya tidak menyangka barangan kemas mereka turut dibawa lari bersama dan hanya menyedari pelbagai barangan kemas bernilai RM69,000 itu telah hilang dua hari kemudian ketika wanita itu (isteri) mahu menggunakannya pada hari tersebut sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan” katanya pada sidang media di sini hari ini. – Bernama