Pembantu rumah dicekup bekerja di gerai

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 DIS – Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) melalui Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Kuala Belait kelmarin, telah menjalankan Operasi Langis di gerai makan sekitar Pekan Belait.

Menurut kenyataan JIPK, semasa operasi itu, seorang warga asing berjawatan pembantu rumah telah didapati telah diarahkan untuk melapor ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Cawangan Kuala Belait bagi siasatan dan tindakan selanjutnya kerana didapati melanggar peruntukan di bawah Peraturan 15(2) Peraturan Imigresen Penggal 17 iaitu mana-mana pekerja asing yang bekerja di negara ini hendaklah bekerja mengikut majikan yang asal.

Sementara itu majikan dan pemilik gerai terbabit dikeluarkan surat panggilan dan seterusnya diarahkan hadir ke bahagian berkenaan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Operasi berkenaan telah diketuai oleh pegawai imigresen kanan dan melibatkan tiga orang pegawai penguat kuasa.

Dalam kenyataan itu, pemangku ketua pegawai imigresen, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK Kuala Belait, mengingatkan para majikan agar patuh dan tidak melanggar sebarang akta dan peraturan imigresen serta memastikan pekerja-pekerja mereka melakukan kerja-kerja seperti yang ditetapkan.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan, JIPK mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen dengan menghubungi talian hotline JIPK, 8734888 atau 8753888 (BSB) dan 8984111 (KB).

Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

Pegawai penguat kuasa membuat catatan terhadap pekerja asing semasa operasi di gerai makan berkenaan. – Gambar serahan JIPK