Pembantu rumah dihukum penjara lapan bulan

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia yang mencuri daripada majikan.

Susanti, 35, mengaku bersalah ke atas dakwaan yang dihadapkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Jumat yang menyatakan bahawa defendan telah bekerja sebagai pembantu rumah sejak Julai 2019.

Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu seterusnya mendengar daripada pihak pendakwaan bahawa defendan sedang menyediakan makanan untuk majikannya pada 22 Jun apabila ternampak dompet majikannya dalam laci sebuah kabinet di bilik tamu dan mengambil wang $100 daripada dompet berkenaan, yang kemudian disembunyikannya dalam almari pakaian di biliknya.

Kemudian pada hari yang sama, majikannya menyedari kehilangan wang berkenaan dan menyoal defendan. Defendan hanya menyerah dan mengaku mencuri wang berkenaan apabila majikannya menemui wang $100 berkenaan dalam bilik tidur defendan.

Dalam menjatuhkan hukuman, Majistret berkata bahawa defendan berada dalam situasi diberi amanah dan tidak menghormati undang-undang dan majikannya yang memerlukan hukuman pencegahan yang menggambarkan jenis kesalahan.