Pembantu rumah dijatuhi hukuman penjara 3 tahun

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jan – Seorang pembantu rumah warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi, hari ini, atas kesalahan membuang anak damit yang dilahirkannya pada awal Ogos 2016.

Tertuduh, Desi Thania mengaku bersalah di hadapan Hakim Dato Paduka Steven Chong atas pertuduhan yang dibacakan itu. Desi berusia 19 tahun, didakwa membuang anak damit itu ke Sungai Brunei melalui tingkap tandas sebuah rumah di Kampung Sungai Besar, pada 7 Ogos 2016 kira-kira jam 3 pagi.

Dakwaan terhadapnya dibuat oleh Pegawai Pendakwa, Hajah Zuraidah binti DP Haji Sidek di bawah Seksyen 308A(1) Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 dan dihukum di bawah Seksyen 308A(2) kerana menyebabkan kematian anak damit perempuannya.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga 10 tahun dan juga denda.