Pembayaran pencen 28 januari ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Kementerian Kewangan dan Ekonomi hari ini memaklumkan bahawa tarikh pembayaran Pencen Perkhidmatan dan Pencen Turunan bagi bulan Januari 2021 adalah pada 28 Januari ini bermula pada jam 7:15 pagi hingga 3:30 petang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, tempat pembayaran bagi Daerah Brunei dan Muara akan dibuat di Kaunter Bahagian Hasil, Tingkat 1, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Manakala, bagi pembayaran Pencen Turunan (balu dan tanggungan) bagi Daerah Brunei dan Muara adalah di Kaunter Pembayaran, Jabatan Perbendaharaan Tingkat 2, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Sementara itu, bagi tiga daerah lainnya, pembayaran Pencen Perkhidmatan dan Pencen Turunan (balu dan tanggungan) akan dibuat di kaunter cawangan Jabatan Perbendaharaan di daerah masing-masing.

Pembayaran pencen pada hari-hari berikutnya bagi Daerah Brunei dan Muara akan dibuat di Kaunter Pembayaran, Jabatan Perbendaharaan Tingkat 2, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Bagi Daerah Tutong, Belait dan Temburong, pembayaran akan dibuat di kaunter cawangan-cawangan Jabatan Perbendaharaan di daerah-daerah berkenaan yang akan dibuat selama 10 hari waktu bekerja pada jam 8 pagi hingga 11:30 pagi dan 1:30 petang hingga 3:30 petang.

Kementerian Kewangan dan Ekonomi sekali lagi menyarankan kepada para penerima yang mempunyai akaun bank tetapi belum mendaftarkannya ke Jabatan Perbendaharaan untuk membawa bersama salinan kad akaun bank berkenaan untuk proses pembayaran pencen bagi bulan berikutnya.

Kementerian itu juga memohon kerjasama para penerima agar mematuhi arahan-arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa serta nasihat-nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan untuk tidak datang secara berkumpulan dan seterusnya untuk bersurai setelah urusan selesai.

Jika ada sebarang pertanyaan ke atas tatacara pembayaran yang dimaksudkan, para penerima bolehlah menghubungi talian-talian yang telah disediakan iaitu 2380822/2383469.