BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Pembayaran Pencen Perkhidmatan dan Pencen Turunan secara pandu lalu pada bulan Oktober adalah pada 28 Oktober di Dewan Persidangan Antarabangsa bagi Daerah Brunei dan Muara manakala bagi Daerah Tutong, di Dewan Kemasyarakatan Tutong.
Dalam pada itu, bagi Daerah Belait dan Temburong, pembayaran pencen akan dibuat di kaunter, Pejabat Jabatan Perbendaharaan.
Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan dan Ekonomi hari ini, pembayaran pencen akan bermula jam 7:30 pagi hingga 3:30 petang pada tarikh dan di tempat berkenaan. Memandangkan cuti kelepasan awam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW, pembayaran seterusnya akan dibuat pada Sabtu, 31 Oktober di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi bagi Daerah Brunei dan Muara dan di cawangan-cawangan Jabatan Perbendaharaan di Daerah Tutong, Belait dan Temburong selama 10 hari waktu bekerja.
Kementerian sekali lagi menyarankan para penerima yang mempunyai akaun bank tetapi belum mendaftarkannya ke Jabatan Perbendaharaan agar membawa bersama salinan kad akaun bank untuk proses pembayaran pencen bagi bulan berikutnya.
Para penerima juga diminta bekerjasama mematuhi arahan diberikan oleh pihak berkuasa bagi membantu menyusun barisan kenderaan dan nasihat dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan agar tidak datang secara berkumpulan, keluar dari kereta dan berkumpul di kawasan pembayaran menunggu giliran dan seterusnya bersurai sebaik urusan selesai.
Sebarang pertanyaan bagi tatacara pembayaran bolehlah menghubungi talian 2380822 atau 2383469.