Pembayaran pencen pada 27 dan 29 Ogos ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Kementerian Kewangan dan Ekonomi memaklumkan bahawa tarikh pembayaran Pencen Perkhidmatan dan Pencen Turunan bagi Ogos adalah pada 27 dan 29 Ogos ini.

Seperti yang telah dilaksanakan pada Mac hingga Julai lalu, Jabatan Perbendaharaan akan meneruskan pembayaran Pencen Perkhidmatan dan Pencen Turunan (balu serta tanggungan) melalui kaedah pandu lalu, menurut kementerian berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kenyataan menjelaskan, bagi Daerah Brunei dan Muara, pembayaran akan dibuat di Dewan Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 27 dan 29 Ogos, bagi Daerah Tutong, pembayaran akan dibuat di Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong pada 27 Ogos sahaja dan bagi Daerah Belait, pembayaran akan dibuat di kawasan penurunan kereta di depan Pejabat Cawangan Perbendaharaan Kuala Belait pada 27 Ogos sahaja.

Manakala bagi Daerah Temburong, pembayaran pencen akan dibuat di kaunter, Pejabat Jabatan Perbendaharaan.

Pembayaran pencen akan bermula pada pukul 7:30 pagi hingga 3:30 petang pada tarikh-tarikh berkenaan. Pembayaran pada hari-hari berikutnya akan dibuat di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi bagi Daerah Brunei dan Muara dan di cawangan-cawangan Jabatan Perbendaharaan di Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong selama 10 hari waktu bekerja.

Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataannya sekali lagi menyarankan agar para penerima yang mempunyai akaun bank tetapi belum mendaftarkannya ke Jabatan Perbendaharaan untuk membawa bersama salinan kad akaun bank berkenaan untuk proses pembayaran pencen bagi bulan berikutnya.

Pihak kementerian juga memohon kerjasama para penerima untuk mematuhi arahan-arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa. Jika ada sebarang pertanyaan ke atas tatacara pembayaran yang dimaksudkan, para penerima bolehlah menghubungi talian-talian yang telah disediakan iaitu 2380822 atau 2383469.