Pembayaran pencen pandu lalu berjalan lancar

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Pembayaran pencen umur tua, pencen-pencen dan elaun-elaun hilang upaya dan Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), telah bermula hari ini menerusi kaedah pembayaran ke akaun bank dan secara pandu lalu di keempat-empat daerah.

Ini merupakan bulan kedua kaedah pembayaran berkenaan dilaksanakan dengan tinjauan di beberapa lokasi menyaksikan proses berjalan dengan lancar.

Salah seorang penerima pencen di Kampung Jerudong B, Haji Abdullah bin Haji [email protected] berkata, dengan adanya pandu lalu berkenaan, penerimaan pencen tua dikendalikan dengan lancar dan sempurna walaupun merasa kasihan melihat ketua kampung yang berpanas mengenakan pakaian PPE sambil melayan warga emas menerima hak mereka.

“Namun kami merasa selamat dan tidak terdedah dengan kemungkinan merebaknya penyakit.

“Insya Allah bagi mengurangkan bebanan pihak yang berkenanan saya akan mencuba menyahut cadangan yang dibagi pihak kerajaan untuk menerima pencen tua melalui bank,” tambah beliau.

Warga emas menerima wang pencen secara pandu lalu di salah satu lokasi.

Seorang lagi penerima, Haji Mohidi merakamkan ribuan terima kasih atas usaha pihak berkenaan mengatur agihan berkenaan yang mana sepanjang urusan berkenaan dalam keadaan baik dan selamat.

Pembayaran secara pandu lalu berkenaan dijalankan selama tiga hari di kawasan-kawasan terbuka dan secara berperingkat iaitu dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung pada pukul 2 petang hingga 5 petang kecuali Jumaat iaitu dari pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi dan disambung pada pukul 2:15 petang hingga 5 petang.

Para penerima diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP keselamatan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan khususnya pemakaian pelitup muka pada setiap masa, membawa pen sendiri, tidak keluar dari kenderaan dan sentiasa bersabar mengikut giliran semasa pandu lalu serta mengikut tarikh dan masa giliran yang ditetapkan oleh penghulu dan ketua kampung bagi mengelakkan perkumpulan ramai.

Bagi yang tidak mempunyai kenderaan ataupun kurang sihat adalah dikehendaki untuk melantik wakil dengan mengisikan borang, membawa kad pengenalan asal penerima dan disahkan oleh ketua kampong masing-masing.

Manakala, bagi yang tidak mempunyai wakil hendaklah memaklumkan ketua kampong untuk mendapat kaedah pembayaran yang bersesuaian.