Pembayaran pencen patuhi prosedur

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Pembayaran Pencen Umur Tua, Elaun Orang Kurang Upaya (OKU), Elaun Bercelaru dan Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) secara pandu lalu bagi bulan ini telah memasuki hari kedua hari ini.

Tinjauan di kawasan Masjid Al-Ameerah Al-Hajah Maryam, Kampung Jerudong menyaksikan kenderaan berbaris dari jalan raya ke pintu besar masjid di mana pembayaran dibuat dengan bantuan kira-kira lima orang sukarelawan yang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Jerudong B.

Pemangku Ketua Kampung Jerudong B, Awang Kamis bin Panjang ketika dihubungi melahirkan penghargaan dan sangat berbesar hati melihat penglibatan ahli-ahli di bawah pengendaliannya yang sama-sama membantu melicinkan tugasan berkenaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan.

Beliau juga sekali lagi mengingatkan kepada para penerima yang hendak berurusan supaya mengikuti arahan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, membawa kad pintar, tidak turun dari kereta atau berbual-bual secara berkumpulan, membawa pen sendiri iaitu berwarna biru serta menggunakan pelitup muka.

Awang Kamis turut menegaskan bagi mereka yang kurang sihat atau merasa mengalami gejala seperti selesema, demam atau simptom wabak COVID-19 supaya tidak hadir dan mewakili kepada ahli keluarga terdekat atau anak sendiri sahaja.

Mereka yang masih dalam arahan QO tidak dibenarkan sama sekali mengambil pencen atau elaun, mereka dikehendaki menghubungi pihak berkenaan untuk urusan lanjut setelah habis perintah QO dilaksanakan, tambahnya.

Menurut Awang Kamis lagi, seramai 348 orang penerima yang tersenarai di kawasan tadahan Kampung Jerudong B telah hadir menerima pencen mereka.

Awang Kamis ketika mengendalikan agihan pencen secara pandu lalu di kawasan Masjid Al-Ameerah Al-Hajah Maryam, Kampung Jerudong, semalam.
Pengagihan pencen pandu lalu yang mematuhi SOP yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan.