Pembayaran Pencen Perkhidmatan dan Turunan secara pandu lalu

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi akan melaksanakan pembayaran Pencen Perkhidmatan dan Pencen Turunan bagi September 2020 melalui kaedah pandu lalu di dua buah daerah iaitu Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong.

Sehubungan dengan itu, bagi Daerah Brunei dan Muara, pembayaran akan dibuat secara pandu lalu di Dewan Pusat Persidangan Antarabangsa pada 28 dan 29 September dan bagi Daerah Tutong, pembayaran akan dibuat di Dewan Kemasyarakatan, Tutong pada 28 September.

Manakala itu, bagi Daerah Belait dan Daerah Temburong pula, pembayaran akan dibuat di kaunter, Pejabat Jabatan Perbendaharaan bermula 28 September. Pembayaran pencen akan bermula pada pukul 7.30 pagi hingga 3.30 petang pada tarikh-tarikh berkenaan. Pembayaran pada hari-hari berikutnya akan dibuat di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi bagi Daerah Brunei dan Muara dan di cawangan-cawangan Jabatan Perbendaharaan di Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong selama 10 hari waktu bekerja.

Kementerian Kewangan dan Ekonomi juga ingin menyarankan kepada para penerima yang mempunyai akaun bank tetapi belum mendaftarkannya ke Jabatan Perbendaharaan untuk membawa bersama salinan kad akaun bank berkenaan bagi proses pembayaran pencen bulan berikutnya.