Pembayaran pencen secara pandu lalu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di negara ini, pembayaran pencen perkhidmatan dan pencen turunan bagi bulan ini akan dilaksanakan secara pandu lalu pada 26 dan 28 Ogos ini dari pukul 7:30 pagi hingga 2 petang.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, pembayaran akan dibuat di Dewan Pusat Persidangan Antarabangsa, Daerah Tutong di Dewan Kompleks Sukan Tutong dan Daerah Belait di kawasan penurunan pejabat (car porch) cawangan Jabatan Perbendaharaan iaitu
bangunan baharu pejabat-pejabat kerajaan.

Manakala, bagi Daerah Temburong, pembayaran pencen akan dibuat di kaunter pejabat Jabatan Perbendaharaan secara temu janji.

Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Bagi langkah-langkah pengawalan dan keselamatan kesemua pihak, pembayaran pencen pada hari-hari berikutnya di kaunter-kaunter pembayaran di cawangan-cawangan akan ditiadakan dan akan dilaksanakan secara temu janji,” tambahnya.

Beliau juga menjelaskan bahawa Kementerian Kewangan dan Ekonomi juga memohon kerjasama penerima-penerima untuk mematuhi arahan-arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa yang akan membantu dalam menyusun barisan kenderaan serta nasihat-nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan untuk tidak datang secara berkumpulan, keluar dari kereta dan berkumpul di kawasan pembayaran menunggu giliran masing-masing dan seterusnya untuk bersurai setelah urusan selesai.

Jika ada sebarang pertanyaan mengenai tatacara pembayaran yang dimaksudkan, para penerima bolehlah menghubungi talian-talian yang telah disediakan seperti 2380822 atau 2383469 bagi Daerah Brunei dan Muara, 3331597 atau 3335579 bagi Daerah Belait, 4221296 bagi Daerah Tutong dan 5221532 bagi Daerah Temburong.

Gambar fail bertarikh 29 Mac 2020 orang ramai menerima pencen secara pandu lalu di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.