Pembayaran rumah lebih mudah, efisien

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – One Common Biling System (OCBS) memberikan pilihan kepada orang ramai untuk membuat pembayaran secara alternatif seperti melalui kad kredit atau debit dan melalui perbankan online selain daripada pembayaran tunai yang lazimnya dibuat di kaunter-kaunter pembayaran.

Penggunaan OCBS secara serentak bagi semua cawangan Jabatan Kemajuan Perumahan di keempat-empat daerah memberikan kemudahan kepada orang ramai khususnya pemilik-pemilik rumah di bawah Skim Perumahan Negara untuk membuat pembayaran secara atas talian. Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Kemajuan Perumahan, Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar dalam kata alu-aluannya di Majlis Pelancaran OCBS yang berlangsung di Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan, hari ini.

Hadir untuk sama-sama menyempurnakan perasmian sistem itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin, setiausaha-setiausaha tetap di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pembangunan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Kementerian Pembangunan.

Di majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi menyaksikan tayangan video pengenalan mengenai OCBS serta menyaksikan demonstrasi pembayaran menggunakan sistem itu. OCBS yang dibangunkan oleh Jabatan Perbendaharaan itu ialah sistem lanjutan daripada Sistem ePayment Gateway (ePG) yang disediakan untuk agensi kerajaan yang tidak mempunyai sistem bil atau sistem kutipan hasil sebelum ini.

Sistem OCBS akan membolehkan agensi kerajaan untuk mengutip hasil tanpa perlu membangun sistem berasingan dan memudahkan kutipan hasil diterima oleh kementerian dan jabatan kerajaan dengan teratur.

Ia juga membuka lembaran baharu bagi Jabatan Kemajuan Perumahan sebagai agensi kerajaan pertama untuk mengimplementasikan OCBS ke arah pengurusan dan pengendalian hal ehwal pembayaran yang lebih efisien, lebih sistematik dan lebih teratur serta mempertingkatkan mutu pemberian perkhidmatan kepada orang ramai.

OCBS telah dilancarkan secara berperingkat yang mana pada fasa pertama, sistem itu dilaksanakan secara rintis bersama Jabatan Kemajuan Perumahan dan kemudiannya akan dilaratkan ke beberapa buah jabatan lain yang telah dikenal pasti. Menerusi sistem berkenaan, ia akan memudahkan orang ramai untuk membuat pembayaran bagi bil perumahan mereka melalui berbagai-bagai saluran seperti pembayaran atas talian dengan melayari portal OCBS dan perbankan Internet di mana resit penerimaan bayaran akan dihantar melalui e-mel atau telefon bimbit pemilik rumah dan pembayar.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi ketika menyempurnakan pelancaran One Common Biling System (OCBS) yang berlangsung di Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi ketika menyaksikan demonstrasi pembayaran menggunakan Sistem OCBS.
Haji Shaharuddin Khairul menyampaikan kata alu-aluannya di majlis pelancaran berkenaan.