Pembayaran tanpa tunai bantu kurangkan risiko jangkitan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Sebagai usaha bersama dalam menangani penularan wabak COVID-19, kompleks-kompleks membeli-belah, gedung perniagaan, pasar raya dan kedai runcit telah mengambil langkah-langkah pencegahan yang telah disarankan.

Ini termasuk menjalankan pemeriksaan suhu badan, menyediakan cecair pembasmi kuman dan menandakan kawasan penjarakan untuk pelanggan beratur menggunakan pita pelekat di atas lantai.

Salah sebuah kedai di Delima Satu, Sifana Sdn Bhd dalam melaksanakan penjarakan sosial antara pekerja dan pelanggan telah memasang cermin sebagai penghadang di kaunter.

Menurut salah seorang pekerja kedai berkenaan, “Kami tidak tahu tahap kesihatan pelanggan, dengan memasang cermin di kaunter pembayaran, sedikit sebanyak dapat meningkatkan lagi keselamatan kakitangan kedai dan juga orang ramai agar kami dapat bekerja dengan selamat dan selesa semasa penularan wabak COVID-19 ini.”

Kedai berkenaan juga memasang tanda penjarakan untuk pelanggan sekurang-kurangnya satu meter semasa beratur untuk membuat pembayaran atau berurusan di kaunter. Selain itu, pelanggan juga digalakkan untuk membuat pembayaran tanpa tunai atau pemindahan wang secara dalam talian. Media Permata juga berpeluang menghubungi Pengurus Maju Grocer Supermarket, Sam Ying Kok yang menyatakan, sejak gelombang kedua COVID-19 di negara ini, mereka telah menerapkan langkah-langkah keselamatan, kebersihan dan penjarakan sosial di dalam kedai.

“Setakat ini kami hanya menggunakan dua tatacara pembayaran, iaitu dengan pembayaran tunai dan pembayaran menggunakan kad,” jelas beliau.

Maju Grocer Supermarkat juga menerima pembelian secara tempahan khas kepada pelanggan yang ingin membeli barang-barang keperluan harian melalui WhatsApp dan pelanggan boleh mengambilnya secara pandu lalu.

Cermin sebagai penghadang antara pelanggan dan petugas di kaunter pembayaran antara usaha bagi mengurangkan risiko jangkitan.