PERTH, AUSTRALIA, 6 OKT – Pembebasan dua warga Australia dari Iran dan seorang pelajar Iran yang ditahan oleh Australia menunjukkan ciri-ciri pertukaran, kata pakar perundangan hari ini, ketika peguam negara enggan untuk memberi komen mengenai kemungkinan perjanjian dengan Tehran.
Kedua-duanya, Jolie King dan Mark Firkin kembali ke Australia kelmarin selepas semua dakwaan ke atas mereka digugurkan. Mereka menghabiskan tiga bulan di penjara Evin Tehran selepas mereka ditangkap menerbangkan dron dekat zon tentera tanpa lesen.
Pada masa yang sama, televisyen kerajaan Iran melaporkan bahawa seorang saintis Iran, Reza Dehbashi, yang ditahan selama 13 bulan di Australia kerana membeli sistem pertahanan bagi negaranya dari Amerika Syarikat telah dipulangkan.
Dehbashi merupakan pelajar penyelidikan di Universiti Queensland.
Peguam Negara Christian Porter mengesahkan yang Dehbashi tidak akan diekstradisi ke AS namun enggan memberi komen mengenai pertukaran tersebut.
“Kerajaan Australia tidak memberi komen mengenai butiran di sebalik pertimbangannya berhubung kes-kes tertentu,” katanya dalam satu kenyataan. – AP


































