Pembekuan aset cengkam kehidupan rakyat Afghanistan

KABUL – “Membekukan aset Afghanistan di Amerika Syarikat telah menyebabkan kenaikan harga dalam pasaran tempatan kerana harga satu guni tepung (50kg) ialah 1,200 afghani (AS$13) tetapi hari ini ia berharga 2,300 afghani (AS$25),” kata penduduk Kabul, Noorzada.

Menuduh AS memburukkan lagi kesengsaraan ekonomi di Afghanistan, Noorzada berkata sikap antipati Washington terhadap kerajaan Taliban di Kabul telah hampir menjejaskan pendapatan harian rakyat biasa Afghanistan.

“Kebiasaannya, saya bekerja keras setiap hari untuk menambah pendapatan tetapi hampir tidak dapat membeli sebungkus tepung sebulan sekali, sedangkan dahulu saya membawa pulang tiga beg tepung,” kata lelaki berusia 30 tahun itu.

Berikutan pengambilalihan Taliban pada pertengahan Ogos dan pengumu-man kerajaan sementara pada 7 September, AS telah membekukan aset Afghanistan di bank AS selepas pengunduran tentera dan diplomat AS.

Washington dilaporkan telah membekukan kira-kira AS$9.5 bilion dalam aset bank pusat Afghanistan atas tuduhan kehadiran kumpulan pengganas, seperti Al-Qaeda dan kumpulan Islamic State (IS), di negara yang dilanda perang itu.

Seorang peniaga kelihatan menunggu pelanggan untuk singgah ke kedainya. – Xinhua
Kelihatan orang tempatan menunggu diupah di pasar di kabul, Afghanistan. – Xinhua

Menolak tuduhan AS, Zabihullah Mujahid, jurucakap kerajaan sementara Taliban, telah menegaskan tanah Afghanistan tidak akan digunakan untuk menentang mana-mana negara, termasuk AS.

Menyuarakan kebimbangan Noorzada, Nazir yang bermastautin di Kabul juga menyalahkan AS kerana harga yang melambung tinggi di pasaran Afghanistan, dengan mengatakan dasar dwi-standard Washington telah menyebabkan kekacauan ekonomi dan kemiskinan yang semakin meningkat di negara yang sudah miskin itu.

“Kami tiada memiliki ekonomi, tiada kerja dan tiada pendapatan tetap. Dalam beberapa bulan lalu saya memperoleh 1,500 afghani setiap hari tetapi pada masa kini saya hampir tidak dapat memperoleh 400 afghani setiap hari,” kata Nazir kepada Xinhua.

Bekerja sebagai kuli di pasar tempatan, Nazir yang berusia 18 tahun berkata “kemiskinan telah mencengkam hidup saya kerana saya hampir tidak mendapat 400 afghani pada masa ini, manakala sebungkus beras 21.5kg adalah 2,000 afghani beberapa bulan lalu tetapi hari ini 2,500 afghani yang di luar kemampuan rakyat biasa.”

Kesusahan ekonomi boleh dirasai di mana-mana di Afghanistan yang dilanda konflik termasuk ibu kota Kabul, kerana ramai penduduk Kabul menjual peralatan rumah mereka untuk meneruskan hidup.

Pembekukan aset Afghanistan oleh AS, menurut rakyat Afghanistan, telah menyebabkan pentadbiran baharu tidak mampu membayar gaji bulanan kakitangan kerajaan dan kekurangan pendapatan telah mengecewakan hampir semua rakyat Afghanistan.

“Harga keperluan asas terutamanya bahan makanan telah meningkat hampir hari demi hari dan punca inflasi yang semakin meningkat ialah pembekuan aset Afghanistan oleh Amerika,” kata pemilik kedai Sayed Abid, 55 tahun.

Menurut Abid, 1 liter petrol berharga 76 afghani, 1 liter diesel ialah 70 afghani dan 1 liter gas cecair berharga 90 afghani, dan harga akan meningkat dengan penurunan nilai afghani berbanding dolar AS (AS$1 bersamaan dengan 90 afghani) – Xinhua