Pembekuan permit kerja AS dilanjutkan

WASHINGTON, 23 JUN – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan melanjutkan pengharaman permit pekerjaan AS sehingga hujung tahun dan memperluaskannya untuk memasukkan visa H-1B yang biasa digunakan dalam industri teknologi, kata Rumah Putih semalam.

Seorang pegawai kanan pentadbiran memberitahu wartawan tindakan itu akan menjejas 525,000 pekerjaan di AS, yang kini bergelut dengan kadar pengangguran tinggi berpunca daripada pandemik koronavirus.

Perintah eksekutif itu, ditandatangani petang semalam, akan melanjutkan pembekuan 60 hari yang dikenakan oleh Trump ke atas permit kerja baharu untuk warga bukan AS dua bulan lalu.

Pegawai pentadbiran berkata perintah baharu itu akan dilanjutkan sehingga akhir 2020 dan termasuk visa H-1B yang disediakan kepada 85,000 pekerja setiap tahun dengan kemahiran khas, kebanyakan mereka menyertai industri teknologi AS.

Ia juga akan merangkumi kebanyakan visa J, biasa untuk akademik dan penyelidik, dan visa L yang digunakan oleh syarikat untuk memindah pekerja di luar negara ke pejabat mereka di AS.

CEO Google Sundar Pichai, dengan syarikatnya menerima faedah sistem visa H1-B, berkata beliau berasa ‘kecewa’ dengan pengumuman itu.

“Imigresen telah menyumbang kepada kejayaan ekonomi Amerika, menjadikannya pemimpin global dalam teknologi,” tulis beliau di Twitter. – AFP