PEMBELA terus bantu pelajar kurang bernasib baik

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 12 JUN – Persatuan Belia Belait (PEMBELA) telah meneruskan usaha mereka dalam membantu pelajar-pelajar kurang bernasib baik dengan menyerahkan pelbagai bantuan untuk memastikan mereka dapat menerima pendidikan dengan baik terutamanya dalam situasi kini yang memerlukan pembelajaran dalam talian.

Ke arah itu, kelmarin, ahli-ahli PEMBELA telah pergi ke Sekolah Rendah Sungai Liang dan Sekolah Rendah Sungai Tali untuk menyerahkan bantuan berupa kredit telefon mudah alih serta tablet kepada pelajar-pelajar terpilih di bawah projek ‘Tholabul ‘Ilmi’.

Mengetuai kumpulan berkenaan ialah Presiden PEMBELA, Dayang Atikah Rumaizah binti Dr Haji Harun yang menyatakan bahawa projek berkenaan bertujuan untuk membolehkan para pelajar berkenaan terus menerima pendidikan, bukan sahaja menerusi pembelajaran dalam talian dengan memastikan mereka mempunyai peralatan betul, malah juga membantu menyampaikan pek pembelajaran rumah (HLP) secara langsung ke kediaman mereka.

Ini terutamanya bagi mereka yang mempunyai kesukaran menerima HLP berkenaan disebabkan ketiadaan pengangkutan atau tinggal di lokasi yang terpencil.

Beliau juga menekankan pelbagai isu yang dihadapi oleh pelajar-pelajar berkenaan pada masa sukar ini seperti tidak dapat menerima HLP, kesempitan wang menyebabkan pelajar hanya dapat belajar pada waktu malam apabila ibu bapa dan penjaga mereka berada di rumah untuk menggunakan telefon pintar mereka atau langsung tidak dapat melayari internet bagi beberapa kes.

Jelasnya, projek berkenaan bermula dengan fasa pertama dari 18 April hingga 18 Mei lalu di mana mereka menghantar HLP ke rumah-rumah pelajar dan kini, mereka memulakan fasa kedua projek yang akan bertindak sebagai susulan kepada fasa pertama dalam menyesuaikan keperluan pelajar yang terus berubah.

Oleh itu, fasa kedua projek yang bermula pada 5 Jun hingga 31 Julai itu tidak hanya memfokuskan kepada penghantaran HLP kepada pelajar-pelajar, tetapi juga termasuk penyerahan sumbangan berupa peranti-peranti perhubungan seperti tablet dan kredit tambah nilai bagi akses internet kepada pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik.

Secara keseluruhannya, 60 orang pelajar daripada 39 buah keluarga telah menerima bantuan berkenaan dengan majoriti pelajar berada di zon Lumut-Liang dan zon Seria sementara itu sebilangan yang lain berada di kawasan pendalaman Belait.

Tambah beliau, dengan sumbangan yang diberikan oleh ahli-ahli PEMBELA serta orang ramai dan syarikat-syarikat, mereka berharap untuk terus melaksanakan projek berkenaan selagi adanya pandemik COVID-19.

Salah seorang wakil pelajar menerima sumbangan yang disampaikan oleh Timbalan Presiden PEMBELA, Haji Roslan bin Haji Hamdan.