Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Pembelajaran bersemuka mulai 14 Mei

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MEI – Kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun tanpa mengira status vaksinasi akan kembali ke sekolah mengikuti pembelajaran secara bersemuka bermula 14 Mei ini.

    Pemangku Pengarah Jabatan Sekolah-Sekolah di Kementerian Pendidikan, Dr Sheikh Lukman bin Sheikh Abdul Hamid menerusi temu bual dalam program Rampai Pagi, Radio Televisyen Brunei hari ini, telah menerangkan lebih lanjut mengenai garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) semasa penggal kedua persekolahan ini.

    Semasa sesi temu bual itu, beliau menjelaskan bahawa sesi pembelajaran secara bersemuka akan dilaksanakan di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    “Ini juga termasuk bagi pra sekolah, sekolah Arab dan juga pusat-pusat di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS),” jelasnya.

    Katanya lagi, “langkah garis panduan dan SOP yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan dan pihak sekolah masing-masing ini adalah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan setiap pelajar, guru-guru dan pekerja sekolah dilindungi dan dipantau dengan baik.”

    Dr Sheikh Lukman semasa memaklumkan mengenai pembelajaran secara bersemuka yang akan kembali pada 14 Mei nanti menerusi sesi temu bual dalam program Rampai Pagi, kelmarin.
    Gambar fail para penuntut kembali menjalani pembelajaran secara bersemuka. Warga sekolah diingatkan untuk sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

    Di samping itu, Kementerian Kesihatan dan KHEU juga telah menubuhkan Jawatankuasa Hal Ehwal Pendidikan dan menyediakan sekolah dengan pendekatan Whole-School-Modification yang lebih komprehensif mengikut garis panduan dan peraturan yang dijalankan di sekolah semasa sesi pembelajaran dan pengajaran bersemuka.

    “Ini adalah sebahagian daripada rancangan kesinambungan business continuity plan (BCP) kepada perkara yang telah digariskan sebelum ini,” tambahnya.

    Antara garis panduan yang akan dilaksanakan oleh pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah, jelasnya, membuat ujian pantas antigen (ART) di sekolah tiga kali dalam seminggu iaitu pada Isnin, Rabu dan Sabtu di samping membuat pemeriksaan suhu badan di pintu-pintu masuk utama sekolah.

    Pelajar akan masuk ke dalam dewan yang mengehadkan 300 pelajar dalam satu masa untuk membuat ART manakala pelajar yang didapati positif akan dimasukkan ke bilik pengasingan, sementara itu, pelajar dengan keputusan negatif pula akan menerima penerangan mengenai garis panduan dan SOP bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka semasa berada di sekolah.

    Dr Sheikh Lukman turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya membekalkan anak-anak mereka dengan tisu, tuala muka, air, pensanitasi tangan serta membekalkan makanan dari rumah untuk memastikan kebersihan mereka terjamin.

    Selain itu, beliau turut menggesa ibu bapa dan penjaga supaya tidak menghantar anak ke sekolah jika mengalami simptom berjangkit termasuk demam, selesema dan batuk.

    Untuk peringkat awal sesi persekolahan secara bersemuka ini, program ‘Siuknya Ke Sekolah’ akan dilaksanakan di setiap sekolah bagi memberi semangat kepada pelajar-pelajar supaya lebih teruja dan seronok ke sekolah setelah berbulan-bulan menjalani pembelajaran secara dalam talian akibat pandemik semasa gelombang kedua COVID di negara ini tahun lalu.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...