Pembelajaran dalam talian bantu perkembangan minda anak

PUTRAJAYA – Perancangan awal yang diambil Pusat Anak GENIUS Negara (PAGN) dan Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Integrasi) GENIUS ketika penularan COVID-19 awal tahun ini terutama dalam menerapkan pembelajaran secara dalam talian membuahkan hasil kerana ia memberi peluang terhadap perkembangan anak-anak melalui bimbingan pendidik dan penglibatan ibu bapa.

Menerusi topik ‘Norma Baharu – Alternatif Pembelajaran Pendidikan Awal Kanak-Kanak’, para pendidik di Integrasi GENIUS di Presint 11 di sini berkongsi cabaran dan manfaat yang diperoleh anak-anak berumur antara dua dan empat tahun menerusi pembelajaran dalam talian yang dilaksanakan secara meluas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian COVID-19.

Pendidik bagi kumpulan umur empat tahun, Nora Azua Zaini berkata pembelajaran secara dalam talian wajar diterus-kan pada masa akan datang walaupun selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran bersama anak masing-masing, menunjukkan mereka lebih peka dan jelas dengan perkembangan anak-anak.

“Pembelajaran dalam talian dapat melihat usaha sama antara ibu bapa dan pendidik dalam membantu perkemba-ngan anak-anak. Kesinambungan pembelajaran antara pusat Genius dan di rumah juga merupakan satu peluang untuk pendidik lebih kreatif untuk meneroka kemahiran dan teknologi terkini dalam penghasilan bahan pembelajaran seperti video,” katanya kepada media.

Ditanya kesinambungan pembelajaran anak-anak di PAGN di seluruh negara sepanjang PKPB, Nora Azua berkata pembelajaran seperti itu masih diteruskan seperti biasa dengan beberapa langkah diambil selain pembelajaran dalam talian.

Penerapan pembelajaran secara dalam talian membuahkan hasil kerana ia memberi peluang terhadap perkembangan anak-anak melalui bimbingan pendidik dan ibu bapa. – Bernama

Antaranya penghasilan video dan bahan pembelajaran bersesuaian mengikut peringkat umur akan diberikan kepada ibu bapa setiap minggu sebagai panduan.

Beliau berkata segala aktiviti yang dilaksanakan mengambil kira enam bidang perkembangan kanak-kanak sejajar dengan kurikulum GENIUS Negara iaitu perkembangan bahasa, komunikasi dan literasi awal; perkembangan sahsiah, sosioemosi dan kerohanian; perkembangan deria dan pemahaman dunia persekitaran; perkembangan fizikal, kreativiti dan estetika; dan perkembangan awal matematik dan pemikiran logik.

Nora Azua turut menyatakan aktiviti dan pembelajaran secara dalam talian mendapat sambutan positif dalam kalangan ibu bapa ketika ia dilaksanakan pada peringkat awal yang secara tidak langsung merapatkan lagi hubungan dan komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak mereka.

Jelasnya, aktiviti dibekalkan oleh pendidik kepada ibu bapa supaya mereka tidak kekeringan idea dan antara akti-viti yang disediakan melibatkan barang-barang harian yang senang didapati di rumah seperti tepung, akhbar dan kotak. Pendekatan pembelajaran sebegini dipraktikkan di PAGN seluruh negara.

Beliau berkata segala bahan pembelajaran yang disediakan pendidik akan dimuat naik di media sosial termasuk Facebook dan YouTube supaya ibu bapa dapat menjadikan ia sebagai bahan rujukan untuk merangka aktiviti bersesuaian dengan mengikut peringkat umur. Usaha itu bukan sahaja memanfaatkan ibu bapa kepada anak mereka yang berada di GENIUS Negara tetapi kepada ibu bapa lain juga.

Menyentuh mengenai kaedah penilaian perkembangan anak-anak, Nora Azua berkata pentaksiran terhadap perkembangan anak-anak direkodkan dalam sistem Pusat Data Kanak-Kanak Kebangsaan (NCDC), suatu Rancangan Pelaksanaan Aktiviti (RPA) yang disediakan para pendidik dalam talian berhubung terus dengan sistem pentaksiran perkembangan kanak-kanak.

Katanya, penglibatan dan kerjasama daripada ibu bapa dalam berkongsi penilaian terhadap perkembangan anak masing-masing juga memudahkan pendidik membuat pentaksiran.

Selain itu, Nora Azua berkata walaupun konsep 3E iaitu meneroka, mengeksperimen dan mengalami (Exploring, Experimenting and Experiencing) ditekankan dalam aktiviti, namun dalam suasana normal baharu aspek kebersihan sebelum, semasa dan selepas aktiviti serta jadual penggiliran turut diambil perhatian serius dalam setiap rancangan pelaksanaan untuk mematuhi penjarakan fizikal. – Bernama