Pembelajaran dalam talian mulai 30 mac

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Pelajar-pelajar sekolah di seluruh negara akan memulakan pembelajaran secara dalam talian (online) bermula pada 30 Mac nanti, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan dengan nasihat Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa sesi pengajaran dan pembelajaran bagi semua sekolah rendah, menengah, pusat-pusat tingkatan enam, sekolah-sekolah vokasional dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan juga termasuk sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama, sekolah-sekolah swasta akan bermula pada 30 Mac secara online.

Manakala itu, bagi sekolah-sekolah antarabangsa, pengajaran dan pembelajaran secara online juga akan bermula pada tarikh yang telah ditetapkan oleh institusi masing-masing.

Kenyataan menekankan bahawa bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pelajar-pelajar adalah terjaga serta terhindar daripada sebarang kemungkinan jangkitan, pelajar-pelajar akan dikehendaki untuk terus berada di rumah dan mengikuti pembelajaran secara online melalui pelbagai landasan mengikut kapasiti sekolah masing-masing sama ada melalui e-mel, Google Docs, WhatsApp, video conference, Microsoft Teams dan platform media sosial atau sebarang aplikasi telekomunikasi yang bersesuaian.

Di samping itu, pihak sekolah juga akan memberikan pek pembelajaran rumah (home-pack learning) bagi pelajar-pelajar yang tidak mempunyai akses kepada internet serta pendidikan melalui rancangan televisyen juga akan dilaksanakan sebagai sokongan tambahan pengajaran dan pembelajaran melalui media massa. Pihak Kementerian Pendidikan turut memaklumkan bahawa pihak sekolah juga telah mengaktifkan Business Continuity Plan (BCP) masing-masing bagi menjaga kesejahteraan guru-guru dan warga sekolah dengan memberikan kelonggaran bagi warga sekolah yang termasuk dalam kategori berisiko sepertimana yang telah dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan termasuk mereka yang sedang mengandung, untuk bertugas dari kediaman masing-masing (Work From Home, WFH).

Pelaksanaan kaedah WFH juga diselaraskan dengan kaedah flexible working arrangements bagi semua warga perkhidmatan awam seperti yang dinyatakan di dalam Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri bilangan 06/2020.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi Pusat Gerakan COVID-19 Kementerian Pendidikan di talian 2382396 pada waktu pejabat sahaja.

Sesi pembelajaran secara online Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini. Kementerian Pendidikan hari ini mengumumkan pembelajaran dalam talian juga akan dilaratkan kepada semua institusi pendidikan di negara ini bermula 30 Mac. – Gambar serahan UNISSA
Pelajar-pelajar sekolah di seluruh negara akan memulakan pembelajaran secara dalam talian (online) di rumah masing-masing bermula pada 30 Mac ini. – Gambar oleh Muiz Matdani