Oleh Nurdiyanah R.
Pendidikan merupakan pencetus kreativiti dan penjana inovasi yang melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja dan kemajuan ekonomi.
Sehubungan itu, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) terus bangkit menjadi institusi pendidikan teknikal yang dinamik merangkumi pembelajaran sepanjang hayat.
Hal ini terbukti menerusi sebahagian daripada usahanya untuk mencapai visi institut berkenaan dengan memberikan pendedahan kepada para pelajar terhadap inisiatif-inisiatif yang sedia ada di dalam negara dan memberikan mereka bimbingan kerjaya melalui bengkel, taklimat dan penempatan kerja yang dikendalikan oleh rakan-rakan agensi dan industri.
Manfaat kemahiran demi masa depan
Semasa berkesempatan menemui beberapa orang pelajar yang mengikuti pameran di Pesta Konvo IBTE sekitar bulan September lalu, dua orang pelajar tahun akhir dari IBTE Kampus Agro-Teknologi, Awang Muhammad Qayyum bin Zainudin dan Dayangku Nur Amanina Khairunnisa binti Pengiran Haji Hassanudin berkongsi bahawa program pendidikan yang mereka terokai lebih menjurus kepada pertanian.
Menyentuh mengenai pertanian hidroponik, Awang Muhammad Qayyum menjelaskan kitaran air menjadi medium utama dalam proses pertanian di mana adanya peralatan seperti paip PVC, pam air dan baldi.
“Seperti penanaman salah satu tumbuhan daun salad secara hidroponik, ia kebiasaannya memerlukan masa selama 40 hari sebelum dituai dengan baik,” ujarnya.
Dalam pada itu Dayangku Nur Amanina turut menjelaskan dengan adanya kemahiran berharga yang mereka peroleh dengan rakan-rakan seperjuangan yang lain, bukanlah semata-mata untuk mendapatkan sijil bahkan adalah menjadi impian untuk terus memanfaatkan segala kemahiran dan pengalaman itu ke arah bidang keusahawanan secara persendirian suatu hari nanti.
Terokai asas pengendalian jentera berat
Sementara itu, dalam menimba kursus berkaitan dengan jentera berat, dua orang pelajar yang mewa- kili IBTE Kampus Mekanikal, Awang Muhamad Ihsan bin Muhamad dan Awang Muhammad Ainul Sofwa bin Sizali menjelaskan bahawa sistem hidraulik merupakan teknologi yang digunakan dalam bidang kejuruteraan yang melibatkan sifat mekanikal dan menggunakan cecair dalam sesuatu alat bagi memudahkan sesuatu kerja.
Sistem hidraulik melibatkan penggunaan daya dan beban yang tinggi dan besar. Oleh sebab itu, sistem ini digunakan dalam mesin atau jentera berat seperti jentolak, lori, traktor dan sebagainya. Pergerakan sistem hidraulik yang melibatkan cecair adalah berkaitan dengan prinsip Pascal.
Apabila berbicara mengenai prinsip Pascal, Awang Muhammad Ainul menyatakan tekanan yang dikenakan ke atas bendalir tertutup akan dipindahkan secara seragam ke semua arah dalam bendalir itu.
Prinsip Pascal hanya akan berlaku jika sesuatu cecair berada dalam bekas tertutup. Tekanan ialah suatu daya yang bertindak ke atas setiap unit luas. Tekanan yang bertindak ke atas cecair dalam bekas tertutup adalah sama pada semua arah.
Awang Muhamad Ihsan turut mencontohkan prinsip Pascal ini melalui bagaimana kereta yang bergerak dapat berhenti dengan tiba-tiba, menjelaskan kebanyakan sistem brek kereta menggunakan hidraulik.
“Bagaimanakah brek hidraulik dalam kereta berfungsi? Dalam brek hidraulik, tekanan dipindah melalui cecair dari pedal brek ke roda-roda kereta apabila pedal brek ditekan.
“Terdapat dua jenis brek dalam kereta iaitu brek piring pada roda hadapan dan brek dram pada roda belakang. Apabila pedal brek ditekan, omboh atau piston kecil pada roda hadapan ditolak menjadikan pad brek bersentuhan dengan brek piring dan pergerakan kereta boleh diperlahankan.
“Tambahan lagi, omboh kecil pada roda belakang juga tertolak apabila brek ditekan. Omboh itu seterusnya menolak sepasang kasut brek supaya bersentuhan dengan brek dram pada roda belakang.
“Tindakan ini seterusnya dapat menghasilkan daya geseran antara kasut brek dengan brek dram dan boleh memperlahankan kereta.
“Begitulah gerak kerja brek kereta yang menggunakan sistem brek hidraulik,” jelasnya lanjut.
Pelajari asas kejuruteraan elektrik
Dalam pada itu, dua orang pelajar IBTE Kampus Nakhoda Ragam, Awang Muhammad Azhar bin Haji Saifulbahri dan Awang Muhammad Zulsyafiq bin Awang Ajis turut berkesempatan mengongsikan bahawa dengan adanya kemahiran menjurus kepada aspek kejuruteraan elektrik, ia amat berguna dalam kehidupan sehari-hari terutama apabila berada di rumah sendiri seperti ketika berlakunya gangguan elektrik, kerosakan suis dan sebagainya.
“Paling mustahak dalam melakukan pemeriksaan melibatkan elektrik itu mestilah menitikberatkan keselamatan dengan PPE khas agar mencegah berlakunya sebarang bentuk kecelakaan,” tekan mereka di akhir pertemuan bersama penulis, baru-baru ini.